Nahas FRU: Pemandu Lori Ada Enam Rekod Jenayah Lampau
TELUK INTAN — Pemandu lori, 45, yang didakwa merempuh trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk satu kes rogol.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada hari ini.
“Daripada semakan, dia ada satu kes jenayah rogol, satu kes dadah dan empat kes jenayah curi di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Semua kes ini telah jatuh hukum,” ujarnya sewaktu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Walau bagaimanapun, saringan air kencing mendapati suspek didapati negatif dan tiada sebarang unsur penggunaan bahan terlarang termasuk ketum.
“Ujian air kencing sudah dibuat dan hasilnya negatif. Kita juga sahkan dakwaan kononnya suspek membawa ketum adalah tidak benar,” katanya lagi.
Menurut beliau, keterangan lanjut daripada suspek akan diambil oleh pihak polis bagi membantu siasatan. Ia termasuk semakan semula semua aspek teknikal perlanggaran membabitkan lori membawa muatan batu itu.
Pada jam 8.50 pagi tadi, sembilan anggota FRU dari Unit 5 Sungai Senam yang sedang dalam perjalanan pulang dari penugasan di Teluk Intan ke Ipoh dilaporkan terkorban dalam nahas terbabit.
Difahamkan, seramai lapan orang disahkan maut ditempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di hospital.
Sumber: Astro AWANI