United: Amorim ‘Payung’ Tiket Staf & Keluarga Ke Final Liga Europa
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim dipercayai membiayai sendiri tiket dan kos perjalanan bagi 30 kakitangan sokongan serta keluarga mereka ke perlawanan akhir Liga Europa minggu depan di Bilbao, Sepanyol.
Menurut sumber ESPN, keputusan ini diambil selepas pihak pengurusan Manchester United memaklumkan bahawa kakitangan seperti jurulatih, fisioterapi dan anggota sokongan perlu menanggung sendiri kos untuk menghadiri perlawanan penting menentang Tottenham Hotspur pada 21 Mei ini.
Perlawanan akhir di Estadio San Mamés itu bukan sahaja menjanjikan kejuaraan Eropah, malah menawarkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan kepada pasukan yang menjuarai pertandingan.
Namun, dalam usaha mengurangkan kos operasi, pengurusan tertinggi kelab dilaporkan sedang melaksanakan pelbagai langkah penjimatan termasuk pemotongan sehingga 200 jawatan di Old Trafford musim panas ini.
Sebagai sebahagian daripada dasar itu, hanya dua tiket sahaja ditawarkan kepada setiap kakitangan untuk dibeli, tanpa sebarang tajaan perjalanan atau tiket percuma daripada kelab.
BACA: Amorim Akui Malu Dengan Prestasi Semasa Manchester United
Sumber turut memaklumkan bahawa keputusan United untuk tidak menaja kakitangan dibuat bagi memberi keutamaan kepada penyokong.
Ini bagi membolehkan mereka mendapatkan tiket daripada jumlah peruntukan sebanyak 15,000 keping yang disediakan untuk kelab itu.
Pemain Manchester United juga hanya diberikan dua tiket setiap seorang, dan tiada peruntukan kewangan disediakan untuk kos perjalanan ahli keluarga atau kenalan.
Bagaimanapun, Amorim yang menyertai kelab pada November lalu bersama beberapa ahli pasukannya, telah mengambil inisiatif sendiri untuk menghargai sumbangan dan dedikasi staf terlibat sepanjang enam bulan yang mencabar di kelab itu.
Difahamkan, beliau telah memaklumkan kepada pihak pengurusan bahawa beliau bersedia menanggung semua kos berkaitan.
Langkah ini diambil agar setiap ahli pasukan sokongan dapat membawa sehingga dua orang ahli keluarga atau rakan bersama ke Bilbao sebagai tanda penghargaan atas usaha dan kesetiaan mereka.
BACA: Sepak Takraw Piala Asia 2025: Malaysia Cipta Sejarah Juara Kuadran
BACA: Hakim Danish Bangkit Dari Kemalangan, Gah Di Podium Le Mans
Sumber: ESPN