Siakap Keli
Gambar: Bernama

Apa Malaysia Mahu Bila Berkawan Dengan Rusia, Dan Apa Rusia ‘Terima’ Dari Kita

Pentas politik global hari ini menjadi semakin tidak rata dan tidak tetap dari masa ke masa. 

Dengan mengambil kira situasi permainan kuasa antara kuasa-kuasa besar dunia yang semakin rumit dan sukar dijangka, dengan siapa kita mahu berkawan adalah persoalan yang perlu ditangani dengan cukup berhemah.

Sebagai sebuah negara kecil tetapi terbuka dan pesat membangun, Malaysia juga tidak boleh terlepas daripada mencari ruang dan peluang untuk menjalin hubungan strategik dengan negara-negara kuasa besar seperti Rusia.

Ketika seluruh dunia berdepan dengan pelbagai cabaran pasca-pandemik dan krisis geopolitik, lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia menjadi bukti bahawa Malaysia mengamalkan pendekatan dasar luar yang pragmatik, berani serta berpandangan jauh. 

Malaysia rusia
Gambar: Bernama

Lawatan ini menjadi satu detik bersejarah kerana ini menjadi lawatan pertama seorang Perdana Menteri Malaysia ke Rusia dalam tempoh dua dekad. Lebih bermakna, lawatan ini hadir menerusi jemputan rasmi daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin sendiri.

Jadi, apa tujuan utama apabila Malaysia sebagai negara kecil mahu berkawan dengan Rusia dan Rusia sebagai sebuah negara besar mahu bersahabat dengan Malaysia?

Setiap negara sebenarnya ada kekuatan tersendiri yang boleh ditawarkan, tanpa mengira status dan pengaruh yang dimiliki di pentas dunia.

Dalam konteks hubungan Malaysia-Rusia pula, kedua-dua negara saling bergantung menerusi pelbagai kerjasama terutamanya dalam sektor ekonomi dan perdagangan kedua-dua hala.

Misalnya pada pada 2024, Rusia menjadi rakan dagangan kesembilan terbesar kepada Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM 11.46 bilion.

Antara eksport utama Malaysia ke Rusia termasuklah produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti serta produk makanan yang diproses.

Manakala kita pula mengimport produk-produk seperti petroleum, mineral serta kimia dan produk berasaskan kimia daripada negara berkenaan.

Dalam aspek lain, kedua-dua negara menerusi pertemuan bersejarah ini turut mahu memajukan kerjasama dalam sektor-sektor lain seperti pertanian, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga.

Isyarat itu diberikan menerusi pertemuan antara Perdana Menteri dengan 24 pemain industri utama Rusia dalam sektor strategik seperti makanan dan pertanian, peruncitan dan logistik, minyak dan gas, kewangan, perabot, kimia, bahan binaan serta pengurusan sisa.

Malaysia rusia
Gambar: Bernama

Dalam pertemuan yang berlangsung di Hotel Metropol pada 14 Mei, delegasi daripada kedua-dua negara berdiskusi secara terbuka untuk meneroka peluang-peluang pelaburan dan perdagangan berimpak tinggi di masa akan datang.

Apabila direalisasikan kelak dan pintu-pintu baharu kepada pelbagai kerjasama perusahaan dibuka, ia pasti akan memberi pulangan yang lumayan kepada kedua-dua negara.

Pada satu sisi, Rusia juga merupakan sebuah institusi yang maju dalam pelbagai teknologi dan banyak yang boleh mereka sumbangkan kepada negara ini.

Perdana Menteri juga turut memastikan suara dan prinsip Malaysia didengar apabila dijadual akan memberikan syarahan umum di Institut Hubungan Antarabangsa Negara Moscow (MGIMO) pada Khamis ini.

Sebagai sebuah negara Islam yang dihormati, Perdana Menteri Malaysia turut akan menyampaikan ucaptama semasa Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Rusia-Dunia Islam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan menyertai Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-16: Kazan Forum di Kazan dan akan menyampaikan ucaptama dalam sesi pleno.

Oleh itu, lawatan Malaysia ke Rusia tidak boleh digambarkan sebagai satu bentuk sebuah negara kecil yang tunduk kepada negara kuasa besar.

Tetapi, peristiwa ini ini wajar ditanggapi sebagai usaha berterusan Malaysia untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain di pentas antarbangsa.

Hubungan erat yang dipupuk dengan negara kuasa besar seperti Rusia bukan sahaja memberi pulangan dari segi perkembangan ekonomi dan kemajuan teknologi, tetapi turut akan mengangkat kedudukan Malaysia sebagai negara kecil yang berkecuali tetapi dihormati.

Malaysia akan dikenang sebagai sebuah negara yang tidak berpihak kepada mana-mana paksi dan boleh berkawan baik dengan siapa sahaja.

Malaysia rusia
Gambar: Bernama

Maka, tidak hairanlah Presiden Putin dalam pertemuan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap bahawa Malaysia sebagai “rakan yang boleh dipercayai dan penting” kepada Rusia.

Kesimpulannya, lawatan ini menunjukkan kemampuan Malaysia sebagai sebuah negara kecil dan berkecuali untuk menempatkan diri di tengah-tengah dunia yang semakin jelas terbahagi kepada pelbagai paksi kuasa dan ideologi.

Kunjungan Perdana Menteri bertemu Presiden Putin menjadi petunjuk bahawa Malaysia memilih jalan yang lebih seimbang tetapi penuh strategi dalam hubungan antarabangsanya.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.