Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Habeas Corpus CEO GISBH, Isteri
PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) — Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan yang difailkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya Azura Md Yusof supaya permohonan habeas corpus mereka dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh meritnya.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim berkata dalam keputusan sebulat suara, panel itu memutuskan bahawa rayuan tersebut tidak mempunyai merit.
Panel itu mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang menolak permohonan habeas corpus pasangan itu atas alasan ia telah menjadi akademik.
Dua lagi anggota panel tersebut ialah Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.
Nasiruddin, 65, dan Azura, 58, telah memfailkan permohonan habeas corpus memohon pembebasan mereka daripada tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Pasangan itu memohon Mahkamah Persekutuan mengembalikan permohonan habeas corpus mereka ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh mengenai merit.
Pada 14 Jan lepas Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru Datuk Abu Bakar Katar menolak permohonan habeas corpus pasangan itu selepas membenarkan bantahan awal responden bahawa perkara itu telah menjadi akademik.
Beliau berpendapat ketika permohonan difailkan pada 24 Okt tahun lepas, Nasiruddin dan Azura tidak lagi ditahan di bawah SOSMA, sebaliknya ditahan di bawah waran tangkap sah yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen Selayang.
Pasangan itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
BACA: Premis GISBH Di Selangor Diarah Tutup, Aset Dirampas – MB Selangor
Pasangan itu pada mulanya ditahan polis pada 19 Sept tahun lalu dan ditahan di bawah SOSMA pada 10 Okt, tahun yang sama.
Mereka adalah antara 22 individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 23 Okt tahun lepas kerana didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang yang beroperasi di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor, dari Oktober 2020 hingga September 2024.
Nasiruddin dan Azura kemudiannya telah memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada hari berikutnya.
Semasa prosiding hari ini, peguam bela pasangan itu Najib Zakaria berhujah bahawa permohonan habeas corpus kekal relevan walaupun menjadi akademik, kerana masih ada isu undang-undang yang perlu ditentukan.
Bagaimanapun Peguam Kanan Persekutuan Mohd Zain Ibrahim yang mewakili responden berhujah bahawa Mahkamah Tinggi betul apabila membatalkan permohonan itu, kerana pasangan tersebut tidak lagi berada di bawah tahanan SOSMA.
Beliau berkata pasangan itu sepatutnya menggunakan peruntukan undang-undang yang lain untuk memohon jaminan, bukannya memfailkan rayuan berhubung permohonan habeas corpus.
Mohd Zain berkata Azura telah dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan, manakala permohonan ikat jamin Nasiruddin ditolak dan tiada rayuan difailkan.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Najib berkata mereka sedang menimbangkan ruang undang-undang lain, termasuk memohon untuk membatalkan pertuduhan.
Sumber: BERNAMA