Siakap Keli
Dr Ravigadevi royal society
Kredit: MOSTI

Dr Ravigadevi Cipta Sejarah, Saintis Malaysia Pertama Jadi Felo Royal Society

Dr Ravigadevi Cipta Sejarah, Saintis Malaysia Pertama Jadi Felo Royal Society

Buat kali pertama dalam sejarah negara, seorang saintis tempatan terpilih sebagai Felo di akademi sains tertua dan paling berprestij di dunia, Royal Society hari ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan Dr Ravigadevi Sambanthamurthi FASc bakal dilantik secara rasmi dalam satu majlis di London pada 11 Julai. Menerusi majlis tersebut, Dr Ravigadevi bakal menandatangani sebuah rekod bersejarah, Charter Book Royal Society. Rekod ini mengandungi tandatangan tokoh-tokoh saintis terkemuka selama lebih tiga abad.

Dr Ravigadevi menerima pengikitirafan ini dengan rendah diri dan menganggap ia satu penghormatan.

“Saya tidak melihat anugerah ini sebagai kejayaan peribadi tetapi ia juga penghargaan kepada semua pasukan cemerlang yang saya pernah bekerjasama. Kemajuan sains bukan hasil kerja seorang individu semata-mata tetapi lahir daripada visi, dedikasi dan kerjasama. Ekosistem penyelidikan yang dinamik di MPOB dan rakan-rakan penyelidik telah menjadikan semua ini satu kenyataan,” ujar beliau.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang turut menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau dan menyifatkan pemilihan ini sebagai detik yang membanggakan buat negara.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja satu pencapaian peribadi, malah mencerminkan aspirasi Malaysia di bawah kerangka Malaysia MADANI, sebuah negara yang mengangkat kesejahteraan melalui ilmu dan memperjuangkan kemampanan melalui inovasi. MOSTI akan terus memperkukuh ekosistem yang menyuburkan kecemerlangan, menyegerakan impak dan meletakkan Malaysia sebagai penyumbang yang disegani dalam landskap sains global,” katanya.

Latar belakang

Menyingkap sejarah kerjaya beliau, Dr Ravigadevi merupakan perintis dalam bidang bioteknologi. Pernah dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) pada 2010, beliau kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Disiplin Sains Biologi, Pertanian dan Alam Sekitar. Selain itu, beliau turut bertugas sebagai Felo di the World Academy of Sciences.

Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Pusat Bioteknologi dan Pembiakbakaan Lanjutan di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Ketika itu, beliau menjadi peneraju kepada penyelidikan transformatif dalam bidang biokimia dan genomik kelapa sawit. Hasil inovasi ini berjaya meningkatkan hasil, kecekapan sumber dan kelestarian alam sekitar.

Sebagai pengetahuan, pencapaian tertinggi Dr Ravigadevi dalam bidang ini terserlah apabila berjaya mengetuai penyelidikan menyahkod genom kelapa sawit. Penyelidikan ini merupakan satu penemuan saintifik penting yang membawa kepada penemuan gen SHELL dalam menentukan hasil pengeluaran minyak. Penyelidikan ini membuka lembaran baru dalam penggunaan ujian DNA bagi memilih pokok berpotensi tinggi, selain membantu pekebun menghasilkan lebih banyak minyak sawit. Ia juga dapat mengurangkan penggunaan tanah sekaligus menurunkan impak terhadap alam sekitar.

Pengiktirafan dan anugerah

Sepanjang kerjayanya, Dr Ravigadevi pernah menerima anugerah Knight of the International Order of Merit of Investors oleh International Federation of Inventors Association pada 2009. Pada tahun 2002, beliau juga pernah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Tan Sri Augustine Ong bagi Ciptaan dan Inovasi dalam Kelapa Sawit. Selain itu, beliau turut menerima pengiktirafan dari Tech Museum Award, Amerika Syarikat iaitu Intel Environent Laureate bagi individuals and organisations whose ideas and execution are changing the world.

Menurut MOSTI, pemilihan ini turut menjadi satu sejarah yang bermakna buat wanita dalam bidang sains. Biarpun akademi ini telah ditubuhkan sejak 1660, ahli wanita hanya mula diterima sekitar 1945. Langkah pemilihan Dr Ravigadevi sebagai salah seorang ahli menjadi signifikan dalam meningkatkan keterlihatan saintis wanita.

“Pengiktirafan ini merupakan simbol kemajuan serta sumber inspirasi kepada saintis muda, khususnya wanita dan mereka yang dari negara membangun,” maklum kementerian berkenaan.

Sumber: MOSTI

BACA: Kenali Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Dapat Anugerah Pengendali Bagasi Terbaik Dunia

BACA: Nurzhafarina Raih Anugerah Whitley Atas Usaha Lindungi Gajah Borneo

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.