Ramai Marah Jalan Tutup , Kena Tahu Ini Faedah Persidangan ASEAN Untuk Malaysia
Seperti yang diketahui, Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini.
Susulan itu, sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan di Lembah Klang ditutup bagi memberi laluan sepanjang sidang kemuncak ini berlangsung.
Bagaimanapun, langkah ini mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat berhubung penutupan jalan.
Namun, ramai yang tidak tahu sebenarnya sidang kemuncak ini memberikan pelbagai manfaat kepada negara ASEAN khususnya Malaysia sebagai tuan rumah.
Apa itu ASEAN?
Sebelum itu, kita kenali dahulu apa itu ASEAN. ASEAN ialah singkatan bagi Association of Southeast Asian Nations atau dalam Bahasa Melayu dikenali sebagai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara.
Ia merupakan sebuah organisasi serantau yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand, melalui tandatangan Deklarasi Bangkok oleh lima negara pengasas seperti Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand.
Senarai Anggota ASEAN
1. Brunei Darussalam
2. Kemboja
3. Indonesia
4. Laos
5. Malaysia
6. Myanmar
7. Filipina
8. Singapura
9. Thailand
10 Vietnam
Faedah ASEAN Kepada Malaysia
Peluang Ekonomi & Perdagangan Serantau
Sebagai anggota Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Malaysia mendapat akses kepada pasaran serantau yang lebih luas melalui pengurangan tarif dan halangan perdagangan.
Inisiatif seperti Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan eksport.
Perkara ini selari dengan matlamat menjadikan ASEAN sebagai pasaran tunggal dan asas pengeluaran bersepadu.
Buktinya, ekonomi ASEAN mencatatkan peningkatan.
Pada 2023, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN mencatatkan rekod US$3.8 trilion, ketiga terbesar di Asia dan kelima di dunia.
Manakala Pelaburan Langsung Asing (FDI) pula merekodkan peningkatan 0.3 peratus pada 2023 berbanding 2022.
Peningkatan Pelaburan & Integrasi Ekonomi
Selain itu, Malaysia juga memainkan peranan aktif dalam menetapkan Keutamaan Ekonomi Utama (Priority Economic Deliverables, PEDs) ASEAN 2025.
Ia merangkumi akses pembiayaan untuk peralihan iklim diperluas, pertumbuhan pasaran modal ASEAN yang lebih inklusif dan terhubung dan memajukan sistem pembayaran segera yang inklusif di rantau ini.
Pada tahun 2024, sebagai rakan dagang strategik bagi Malaysia, perdagangan dengan ASEAN berjumlah RM765.09 bilion, merangkumi 26.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia. Perdagangan meningkat 6.1 peratus setelah mencatatkan penurunan pada 2023.
Sebagai destinasi eksport utama di rantau ini, eksport ke ASEAN meningkat 4.2 peratus kepada RM437.92 bilion, didorong oleh pertumbuhan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam serta keluaran petroleum.
Sementara itu dalam laporan Bernama, jumlah barangan dagangan ASEAN merekodkan US$3.5 trilion, bagi jumlah eksport sebanyak US$1.8 trilion manakala jumlah import meraih US$1.7 trilion.
Sementara perdagangan dalam sektor perkhidmatan, ASEAN merekodkan jumlah eksport sebanyak US$554.2 selain US$529.2 bagi jumlah import.

https://x.com/Bernama_Radio/status/1925070197859483924
Peluang Pekerjaan & Mobiliti Tenaga Kerja
Tahukah anda, ASEAN telah melaksanakan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRAs) bagi lapan profesion, termasuk jurutera, arkitek, dan akauntan.
Ini membolehkan Malaysia bekerja di negara anggota ASEAN lain, sekaligus memperluas peluang kerjaya dan meningkatkan mobiliti tenaga kerja.
Diplomasi & Kestabilan Serantau
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berpeluang memperkukuh diplomasi ekonomi dan kestabilan serantau.
Kepimpinan ini membolehkan Malaysia menetapkan agenda serantau, memperluas kerjasama strategik, dan meningkatkan profil negara di peringkat antarabangsa.
Pemerkasaan Industri Halal & Akses Pasaran Baharu
Seterusnya, kerjasama antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) membuka peluang bagi Malaysia mempromosikan industri halal di pasaran Timur Tengah dan Afrika.
Inisiatif ini berpotensi memperluas jangkauan produk halal Malaysia dan meningkatkan eksport negara.
Sumber: ASEAN, ASEAN MALAYSIA 2025, MOF (1), (2), RTM, Jabatan Perdana Menteri, Bernama