Tune Talk Memperkenalkan Ciri Permainan Video dan Penstriman Dalam Aplikasi Pertama di Malaysia, Merintis Era Baharu Inovasi Telekomunikasi
KUALA LUMPUR, 21 MEI 2025 – Tune Talk, pengendali rangkaian berasaskan awan sepenuhnya yang pertama dan paling pesat berkembang di Malaysia, dengan bangganya mengumumkan pelancaran ciri Permainan Video dan Drama, dalam Aplikasi Tune Talk, ciri penstriman dan permainan video dalam aplikasi pertama di Malaysia yang diperkenalkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi. Hab hiburan baharu ini disepadukan sepenuhnya dalam aplikasi Tune Talk, ia membolehkan pengguna menonton drama, bermain permainan video, dan meraih ganjaran semuanya dalam satu aplikasi, tanpa perlu memuat turun atau mendaftar masuk melalui pihak ketiga.
Bukan sekadar pengemaskinian ciri biasa, pelancaran ini sebaliknya menandakan transformasi berani dalam industri yang bakal meletakkan Tune Talk sebagai kuasa disruptif dalam industri telekomunikasi Malaysia yang bernilai RM42 bilion. Sebagai satu-satunya syarikat telekomunikasi berasaskan awan sepenuhnya di Asia Tenggara, Tune Talk mendefinisikan semula cara rangkaian mudah alih beroperasi, menyampaikan perkhidmatan yang bukan sahaja pantas dan boleh diskalakan, tetapi juga disesuaikan sepenuhnya mengikut gaya hidup orang ramai dan cara mereka bekerja, dan bermain.

Menurut laporan Digital 2025: Malaysia oleh DataReportal, sebanyak 97.7% rakyat Malaysia merupakan pengguna internet, dan terdapat lebih 43.3 juta sambungan mudah alih selular di negara ini, bersamaan dengan 121% daripada jumlah penduduk setakat awal tahun 2025. Pasaran telekomunikasi Malaysia dijangka berkembang daripada AS$ 9.07 bilion pada tahun 2024 kepada AS$ 11.54 bilion menjelang tahun 2030, dipacu oleh permintaan gaya hidup digital, tabiat penggunaan mudah alih, dan penggunaan hiburan berlatensi rendah.
“Ini hanyalah satu permulaan,” ujar Pengasas Bersama, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda. “Kami bukan sekadar meningkatkan ketersambungan, kami mengimaginasikan semula bagaimana pengguna boleh memanfaatkannya. Dengan pelancaran ciri Permainan Video dan Drama dalam Aplikasi Tune Talk, kami mengubah interaksi digital harian menjadi suatu pengalaman yang mengagumkan dan menggembirakan. Inisiatif ini juga mencerminkan evolusi kami ke arah menjadi syarikat telekomunikasi yang benar-benar pantas, cekap, dan berasaskan awan, sebuah model operasi yang dibina untuk masa depan.”

Pelancaran ini direalisasikan melalui kerjasama strategik dengan Jolibox, sebuah platform hiburan digital terkemuka dan rakan kandungan utama Tune Talk bagi Permainan Video dan Drama dalam aplikasi tersebut. Kepakaran Jolibox dalam pengintegrasian penstriman kandungan dan gamifikasi membolehkan penyampaian hiburan yang lancar dan boleh diskalakan dalam aplikasi, sekali gus mengukuhkan komitmen Tune Talk dalam menyediakan pengalaman digital tanpa gangguan.
Telekomuniksasi Digabungkan dengan Hiburan
Boleh didapati secara eksklusif melalui aplikasi Tune Talk, bahagian Drama menampilkan pelbagai kandungan penstriman yang disusun khas, manakala ciri Permainan Video pula menawarkan pelbagai pilihan permainan kasual yang boleh dimainkan serta-merta tanpa perlu dimuat turun. Pengguna boleh meraih Mata Tune Talk dengan setiap interaksi mereka, yang boleh ditebus untuk mendapatkan akses kandungan, penstriman tanpa iklan, atau ganjaran eksklusif. Semua ini meletakkan nilai sebenar di hujung jari pengguna, dikuasakan oleh infrastruktur hiburan bersepadu Jolibox.

Tambah Shawn, Ketua Pemasaran Tune Talk, lagi, “Pengguna masa kini menginginkan lebih daripada sekadar data, mereka mahukan interaksi yang lancar dan bermakna. Dengan hab hiburan semua dalam satu ini, kami menawarkan perkhidmatan telekomunikasi yang lebih ringkas, lebih pintar, dan jauh lebih menyeronokkan. Dan banyak lagi perkara menarik yang boleh kami sampaikan melalui platform berasaskan awan kami selepas ini.” Dengan beroperasi sepenuhnya menggunakan teknologi awan, Tune Talk berjaya menghapuskan halangan legasi dan memperoleh keupayaan untuk memperkenalkan ciri baharu dengan pantas, mengautomasikan keperibadian pengguna melalui AI, dan mengurangkan kos operasi, kelebihan yang sukar ditandingi oleh syarikat telekomunikasi tradisional. Pendekatan syarikat ini sangat selari dengan matlamat JENDELA dan MyDIGITAL, inisiatif kebangsaan Malaysia yang bertujuan untuk memacu pemodenan infrastruktur, keterangkuman luar bandar, dan digitalisasi ekonomi.
“Pelancaran ini tidak hanya tertumpu kepada hiburan semata-mata, ia membuktikan bahawa syarikat telekomunikasi boleh menerajui pengalaman pengguna, bukan hanya merangkumi liputan rangkaian,” tambah Gurtaj. “Kami berbangga kerana dapat menetapkan penanda aras baharu, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh rantau ini.”
Jolibox – Pemacu Teras Hiburan
Pengalaman dalam talian yang berinovasi ini direalisasikan melalui kerjasama erat dengan Jolibox, sebuah platform hiburan awan terkemuka yang pakar dalam menyampaikan kandungan serba lancar dan unsur gamifikasi. Sebagai rakan utama Tune Talk untuk kandungan Permainan Video dan Drama, Jolibox membawakan kepakaran teknologi dan kandungannya untuk memperkasakan ekosistem hiburan yang benar-benar bersepadu.

“Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan Tune Talk untuk merealisasikan pengalaman berinovatif ini,” kata Jiayuan Mao, Pengarah, Perkongsian Global di Jolibox. “Di Jolibox, misi kami adalah untuk mentransformasi cara orang ramai mengakses dan menikmati hiburan digital. Dengan mengintegrasikan platform kami secara terus ke dalam Aplikasi Tune Talk, kami berjaya memecahkan halangan dan memudahkan rakyat Malaysia untuk menonton, bermain, dan mendapatkan ganjaran – semuanya dalam satu aplikasi sahaja.”
Inisiatif ini mencerminkan visi jangka panjang Tune Talk untuk menjadi syarikat telekomunikasi yang mengutamakan gaya hidup, dengan memanfaatkan teknologi awan untuk memberikan nilai sebenar kepada pengguna moden. Sama ada untuk menstrim atau bermain permainan video, pengguna kini boleh mengakses lebih banyak kandungan premium dengan melakukan perkara yang digemari, semuanya di hujung jari mereka.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari www.tunetalk.com/ atau ikuti @TuneTalk di Facebook, Instagram, dan X.