Siakap Keli
balai seni negara

Balai Seni Negara Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025

Balai Seni Negara kembali ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) yang akan berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Tahun ini, Balai Seni Negara ditempatkan di Aras 4, Khemah Plaza Merdeka (Marquee Tent), reruai 9-16, dengan pelbagai aktiviti menarik serta program kreatif untuk seisi keluarga, di samping menawarkan bahan bacaan seni visual yang berkualiti tinggi kepada para pengunjung.

Lebih 140 judul buku terbitan Balai Seni Negara akan dibawa khas ke reruai, merangkumi koleksi penulisan daripada pengkaji dan tokoh seni tanah air yang menghimpunkan wacana, dokumentasi serta sorotan penting berkaitan pameran-pameran yang pernah dianjurkan oleh Balai Seni Negara. Buku-buku ini bukan sahaja memperkaya wacana seni tempatan, malah turut menjadi rujukan penting bagi pelajar, pengkaji serta peminat seni visual tanah air.

Selain penerbitan, pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan cenderamata eksklusif Balai Seni Negara. Antara barangan yang boleh didapati termasuk botol minuman (tumbler), beg tote, NAG mug, lanyard, topi NAG, buku catatan, poskad dan pelbagai barangan istimewa lain yang sesuai untuk pengumpul dan pencinta seni visual.

Menariknya, pelbagai aktiviti interaktif dan kreatif turut disediakan sepanjang tempoh pameran ini berlangsung. Aktiviti seperti “Blooming Joy: DIY Bookmark & Doodle Charm: DIY Keychain”, “Luahan Kata”, “Live Caricature & Tutorial for Easy Sketching Steps by Kak Ai”, “Calligraphy with You” dan “Shrink Plastic Demo” dijangka mendapat sambutan ramai khususnya daripada keluarga dan pengunjung muda. Sebagai acara kemuncak, pengunjung berpeluang menyaksikan atau menyertai sesi istimewa di mana mereka dijemput untuk mengambil bahagian dalam sesi “Live Book Sketching”. Sesi ini akan menampilkan sasterawan tersohor tanah air, YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin, yang akan mengenakan kostum ‘Menora’, dan akan diadakan pada hari terakhir PBAKL 2025.

Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif lain turut disediakan dan terbuka untuk penyertaan secara walk-in sepanjang program berlangsung. Antaranya termasuk aktiviti susun padan gambar karya daripada Koleksi Seni Visual Negara serta aktiviti mewarna, yang direka khas untuk menggalakkan penghayatan seni dalam kalangan pengunjung pelbagai peringkat umur.

Dalam usaha membawa seni lebih dekat kepada masyarakat, Balai Seni Negara turut mengambil bahagian di Pentas Plaza Merdeka dengan pengisian program khas seperti sesi sembang santai bersama Dr. U-Wei Haji Saari dan Mustaffa Ahmad Hidzir (Tapa Otai) berkenaan foto buku ‘STAGES’ 0.1 serta bengkel seni bersama UNEH. Kesemua program ini dirangka dengan pendekatan segar, inklusif dan mesra pengunjung, selaras dengan misi Balai Seni Negara untuk memasyarakatkan seni dalam bentuk yang mudah diakses dan difahami.

Balai Seni Negara turut mengadakan jualan buku secara kombo dengan tawaran harga yang menarik penganjuran PBAKL 2025 ini. Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan reruai Balai Seni Negara dan merebut peluang mendapatkan koleksi buku dan cenderamata seni yang eksklusif. Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan Balai Seni Negara di PBAKL 2025, layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.