Cara Ke PBAKL Guna LRT, MRT, KTM & Monorel
Debaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kian terasa. Pesta yang mengumpulkan pelbagai syarikat penerbitan dari dalam dan luar negara, diserikan dengan kehadiran para penulis membuatkan pencinta buku sentiasa ternanti-nanti acara tahunan ini.
Ketika inilah pelbagai buku rujukan, novel, kitab dan majalah bagi setiap peringkat umur mudah didapati dengan harga tawaran istimewa. Memandangkan penganjuran PBAKL sentiasa di lokasi yang sama di tengah kota iaitu World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), sudah tentu ramai yang arif tentang keadaan trafik di sekitar.
Bagi memudahkan perjalanan, pilihan terbaik untuk ke PBAKL ialah dengan menaiki kenderaan awam. Bukan sahaja tidak perlu membayar kos perjalanan yang tinggi, malah anda juga tidak perlu sakitkan kepala hadapi kesesakan lalulintas. Bagi yang berada jauh di negeri lain pula, anda boleh ke PBAKL dengan menaiki bas atau kereta api hingga ke KL Sentral, kemudian terus menggunakan perkhidmatan tren yang disediakan. Jimat duit minyak dan tol.
Cara ke PBAKL menaiki KTM Komuter, LRT, MRT dan juga Monorel
Sebelum kita teruskan, penting untuk pembaca tahu nama WTCKL merupakan nama baharu bagi Putra World Trade Centre (PWTC). Jadi, stesen terdekat dengan WTCKL akan tertera sebagai Stesen PWTC.
Bagi anda yang menaiki kapal terbang dan mendarat di KLIA atau KLIA2, anda boleh menaiki ERL atau bas untuk ke KL Sentral. Dari KL Sentral, anda mempunyai beberapa pilihan untuk ke PBAKL. Untuk ke Stesen PWTC, lebih mudah jika anda menggunakan LRT. Namun, jika berlaku kesesakan di stesen LRT KL Sentral, anda juga boleh menaiki Monorel.
Ingin min ingatkan, pastikan anda tahu nama laluan yang anda naiki. Nama laluan yang berdekatan dengan anda akan menentukan sama ada anda perlu menukar gerabak di stesen tertentu atau tidak.
Laluan Monorel KL
Bermula dari Stesen Monorel KL Sentral, anda perlu pergi ke arah Stesen Titiwangsa. Di sana, tukar ke LRT Laluan Ampang dan anda boleh terus turun di Stesen PWTC.
Laluan LRT
Jika anda menggunakan Laluan Kelana Jaya iaitu laluan yang bermula dari Stesen Gombak, anda perlu turun di Stesen Masjid Jamek dan tukar ke Laluan Ampang dan boleh terus ke Stesen PWTC. Tempat letak kenderaan ada disediakan di Stesen Gombak.
Pengguna Laluan Sri Petaling yang bermula dari Stesen Putra Heights pula, anda tidak perlu menukar laluan. Anda boleh terus turun di Stesen PWTC. Tempat letak kenderaan juga ada disediakan di Stesen Putra Heights jika anda tidak mahu memandu ke PBAKL.
Bagi mereka yang menaiki bas merentas negeri dan turun di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), laluan LRT berhampiran anda ialah Laluan Sri Petaling iaitu Stesen Bandar Tasik Selatan. Anda boleh terus menunggu gerabak di platform yang menghala ke arah Sentul Timur dan turun apabila tiba di Stesen PWTC. Tempat letak kenderaan juga disediakan di TBS.
Laluan MRT
Pengguna Laluan Kajang perlu menukar perkhidmatan dari MRT ke LRT. Turun di Stesen Maluri dan naik LRT Laluan Ampang untuk tiba di Stesen PWTC. Tempat letak kenderaan ada disediakan di Stesen MRT Kajang.
Bagi mereka yang menggunakan Laluan Sungai Buloh pula, anda perlu menuju ke Stesen Merdeka. Turun dan tukar ke Laluan Ampang dengan menaiki LRT di Stesen Plaza Rakyat. Anda akan terus tiba di Stesen PWTC, lokasi PBAKL.
Warga Putrajaya yang menaiki MRT dari Stesen Putrajaya Sentral perlu berhenti di Stesen MRT Titiwangsa. Kemudian, tukar laluan dengan menaiki LRT Laluan Ampang untuk ke Stesen PWTC.
Laluan KTM Komuter
Cara untuk ke PBAKL bagi pengguna KTM Komuter boleh menaiki mana-mana stesen KTM untuk turun di Stesen Putra dan jalan kaki lima minit untuk ke WTCKL.
https://www.facebook.com/klibf.my/posts/pfbid02iBYKBkLvQ5wUTQmroE8Rq41HF4ZqLM8TvqHnHXKNNGYCkdtydAFCcTAZ544zRQnl
Tip memastikan perjalanan ke PBAKL berjalan lancar
Pastikan anda membuat pembelian MyCity Pass yang hanya berharga RM6 bagi setiap tiket. Dengan cara ini, jika anda tersalah laluan sekalipun, anda tetap dapat berjimat duit poket dan tidak perlu beratur berkali-kali membeli tiket baru.
Pastikan juga anda memakai kasut bersesuaian dan selesa kerana kaki anda perlu bekerja keras sepanjang hari hingga anda tiba semula ke rumah. Bawa bersama bagasi beroda atau troli supaya anda tidak terbeban dengan muatan buku yang diborong.
Pakai pelitup muka sebagai langkah berwaspada berikutan anda perlu bersesak dengan orang ramai sepanjang perjalanan dan ketika berada di PBAKL.
Selamat menjelajah.
Sumber: KLIBF
BACA: Jangan Hon Gajah Liar, Ikuti Langkah Keselamatan Ini
BACA: Dr Ravigadevi Cipta Sejarah, Saintis Malaysia Pertama Jadi Felo Royal Society