Siakap Keli
Roman Shogdzhiev
Kredit: Roman Shogdzhiev

Roman Shogdzhiev Pemain Catur Termuda Dapat Gelaran International Master

Roman Shogdzhiev Pemain Catur Termuda Dapat Gelaran International Master

Moscow – Sejarah baharu tercipta dalam dunia catur apabila pemain muda dari Rusia, Roman Shogdzhiev, dinobatkan sebagai Pemain Catur Antarabangsa (IM) termuda dalam sejarah.

Menurut Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), Roman yang baru berusia 10 tahun, tiga bulan dan 21 hari itu memecahkan rekod terdahulu lima bulan lebih awal daripada pemegang rekod sebelumnya, Faustino Oro dari Argentina. Pencapaian itu disahkan selepas Roman menamatkan kejohanan RadnickiChess IM di Belgrade, Serbia dengan pungutan tujuh mata dalam sembilan perlawanan.

Berkongsi kedudukan pertama bersama IM Md Imran, IM Roman kini berjaya melengkapkan norma IM ketiganya. Roman menunjukkan aksi cemerlang sejak awal kejohanan dengan mengumpul 5.5 mata dalam enam pusingan pertama sebelum mengakhiri tiga pusingan terakhir dengan keputusan seri.

Kemenangan Roman ke atas Grandmaster (GM) Milko Popchev berusia 60 tahun dan FM Kush Bhagat dari India menunjukkan keupayaan taktikal luar biasa pemain muda itu. Roman telah memperoleh norma IM pertamanya pada Disember di kejohanan sama, dan kemudiannya mencatat prestasi 2513 di Baku Open, Azerbaijan.

Dengan tambahan 30 mata lagi di Serbia, beliau kini melepasi rating 2400 FIDE yang menjadi syarat penting bagi mendapatkan gelaran IM. Roman kini menjadi pemain keempat dalam sejarah meraih gelaran IM sebelum usia 11 tahun.

“Ini bukan kes biasa, tetapi jika bukan kes unik, ia hampir kepadanya,” kata jurulatihnya GM Evgeny Tomashevsky.

Mengenali catur seawal empat tahun

Roman mula bermain catur pada usia empat tahun, setelah diajar oleh bapanya.

Ibunya, Saglara Shogdzhieva berkata Roman bermain catur sepanjang hari. Pada usia lapan tahun, Roman menarik perhatian antarabangsa apabila menewaskan lima GM dalam Kejohanan Dunia Blitz & Rapid 2023 di Uzbekistan.

Semenjak itu, Roman terus menewaskan nama besar dalam dunia catur seperti GM Andrey Esipenko dan Vladimir Potkin dalam kategori blitz.

Dilahirkan di Elista, Kalmykia dan kini menetap berhampiran Moscow, Roman dilatih oleh tujuh GM termasuk dua kali juara Rusia. Roman kini belajar dari rumah sepenuh masa, dan ibunya berhenti kerja untuk membimbingnya.

“Seluruh hidup kami berpusat pada jadual catur Roman,” katanya.

Roman menyasarkan untuk meraih norma GM dalam masa terdekat.

“Saya ingin menjadi juara dunia. Tahun ini, saya menyasarkan untuk mendapat norma Grandmaster. Saya rasa ia realistik,” ujar Roman.

Sumber: FIDE (1) (2), Chess.com

BACA: Sze Fei-Nur Izzuddin Kini Pasangan Nombor Satu Dunia

BACA: Cipta Serunding Sisik Ikan, Pelajar KV Keningau Juara Pertandingan Inovasi Antarabangsa

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.