Resipi Sos Bawang Putih, Peminat Nasi Arab Boleh Cuba
Gelombang nasi arab belum lagi menunjukkan kedinginan biarpun sudah bertahun-tahun menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Boleh dikatakan, nasi arab menjadi menu pilihan apabila sanak saudara datang bertandang. Bukan itu sahaja, andai ada restoran yang menyajikan menu ini, sudah tentu berpusu-pusu menyerbu, ingin mencuba.
Kemahiran memasak nasi arab turut ‘diperturun’ daripada mereka yang pernah bermastautin di negara Timur Tengah ketika melanjutkan pelajaran. Biarpun dipanggil dengan nama yang sama, nasi arab, rupanya hidangan utama iaitu nasi itu sendiri mempunyai cara memasak yang berbeza.
Walaupun begitu, dalam begitu banyak perbezaan dan cara menghidang menu nasi arab, terdapat satu hidangan sampingan yang pasti diselit dalam mana-mana menu. Sos bawang putih. Sos ini tidak hanya dihidangkan bersama nasi arab, malah turut disapukan pada roti dan shawarma.
Biarpun sos bawang putih nampak seperti mayonis yang dicampur bawang putih, sebenarnya sos ini tidak ada kena mengena dengan mayonis. Seorang pengguna Facebook, Rosmah Ahmad berkongsi resipi mudah bagi anda yang ingin membuat sos bawang putih sendiri.
“Peminat nasi arab mesti tahu kesedapan sos bawang putih ni macam mana. Ni aku buat sendiri, tekstur sama mcm mayonis. Rasanya pun 99.99 peratus sama mcm sos bawang putih kat kedai pak arab,” kongsi wanita tersebut.
Bahan-bahan dan cara buat
Pertama sekali, sediakan empat ulas bawang putih, satu biji putih telur dan dua sudu besar cuka. Anda boleh juga gantikan cuka dengan lemon. Sediakan juga satu sudu besar gula dan satu sudu kecil garam sebagai perasa.
Bagi menghasilkan tekstur seperti mayonis, anda perlukan satu cawan minyak jagung.
Masukkan kesemua bahan ke dalam mesin pengisar kecuali minyak jagung. Menurut Rosmah, minyak jagung perlu dituang sedikit demi sedikit.
“Kisar lama-lama sampai dapat tekstur seperti mayonis. Kalau nak buat stok, gandakan je nisbah bahan tu,” pesannya.
Sos bawang putih ini dijangka boleh bertahan selama tiga bulan jika disimpan dengan baik dalam peti sejuk. Selamat mencuba.
Sumber: Rosmah Ahmad via Aneka Resepi Free dan Mudah
BACA: Warisan Turun-Temurun, Wanita Kongsi Resipi Udang Masak Diraja
BACA: Resipi Biskut Cornflakes Rangup, Kegemaran Tetamu Ketika Raya