Fenomena Istiwa’ A’dzam Berlaku Petang Ini: Panduan Semak Arah Kiblat Di Rumah
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa fenomena Istiwa A’dzam akan berlaku pada jam 5:18 petang hari ini.
“Pada 28 Mei 2025 ini , Rabu bersamaan 30 Zulkaedah 1446H jam 5:18 petang (waktu Malaysia) akan berlakunya fenomena Istiwa A’dzam,” maklum kenyataan itu.
Fenomena Istiwa A’dzam merujuk kepada kedudukan Matahari tepat di atas Kaabah dan peristiwa ini hanya berlaku sebanyak dua kali sahaja dalam masa setahun.
Berikutan itu, umat Islam khususnya boleh memanfaatkan peristiwa berkenaan untuk menyemak arah kiblat yang menjadi panduan kedudukan Kaabah di Mekah, Arab Saudi ketika menunaikan solat.
Semakan arah kiblat ini boleh dibuat di premis atau rumah kediaman masing-masing.
Bagaimana terjadinya fenomena Istiwa A’dzam ini?
Peristiwa ini terjadi apabila kedudukan matahari berada di titik zenit ketika istiwa berlaku setiap dua kali setahun. Nilai sudut istiwa matahari akan bersamaan dengan nilai latitud Mekah di mana Kaabah terletak.
Bayang-bayang objek tegak akan menunjukkan arah ke Kaabah (kiblat) ketika Istiwa A’dzam.
Tarikh kejadian fenomena ini adalah pada 28 Mei pada pukul 5:18 petang (pertama) dan 15 Julai pada pukul 5:27 petang waktu tempatan (kedua).
Panduan Semakan Arah Kiblat:
1. Semakan boleh dilakukan di premis atau kediaman masing-masing.
2. Pastikan waktu semakan adalah mengikut waktunya.
3. Sila rujuk waktu yang tepat berdasarkan waktu Malaysia di mst.sirim.my.
4. Gunakan objek tegak dan lurus seperti tiang atau tingkap rumah dan sebagainya.
5. Bayang-bayang yang terhasil daripada objek tersebut menunjukkan ke arah kiblat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan via Facebook