Siakap Keli
burung berapi matahari
Kredit: TASS

Imej Burung Misteri Di Matahari Cetus Tanda Tanya, Saintis Tampil Jelaskan

Imej Burung Misteri Di Matahari Cetus Tanda Tanya, Saintis Tampil Jelaskan

Moscow – Pelbagai spekulasi tercetus apabila tular di media sosial berkenaan imej yang memaparkan objek misteri berbentuk burung yang dirakam berhampiran Matahari.

Penemuan tersebut disahkan oleh Makmal Astronomi Suria di Institut Kajian Angkasa Rusia (IKI RAS) pada Isnin.

Berdasarkan laporan Russian News Agency, ahli astronomi Rusia sebelum ini melaporkan imej daripada teleskop LASCO bertarikh 24 Mei yang menunjukkan objek menyerupai seekor burung api gergasi.

https://x.com/popovych_yuriy/status/1926687290761306375

Namun, Penyelidik Kanan di Universiti Fizik dan Teknikal Moscow, Evgenia Kravchenko berkata ia berkemungkinan besar merupakan letusan besar jisim korona.

“Dalam imej yang diambil dari teleskop LASCO, kita dapat melihat awan zarah bercas (proton, nukleus helium, elektron dan sebagainya) yang dipanaskan sehingga jutaan darjah dan dilontarkan dari korona akibat aktiviti medan magnet Matahari.

“Letusan seperti ini disertai oleh nyalaan kuat dan boleh membesar sehingga saiz yang amat besar. Saiz letusan ini ialah 150,000 kilometer iaitu sepuluh kali ganda diameter Bumi. Ia berada pada dua juta kilometer di atas cakera Matahari yang kelihatan. Bentuknya yang luar biasa hanyalah kesan optik secara rawak,” kata Kravchenko seperti yang dipetik media.

Kravchenko menganggarkan bahawa awan besar zarah bercas tersebut telah menembusi ruang antara planet pada kelajuan tinggi. Menurutnya, jika letusan ini menghala ke Bumi, ia akan menyebabkan cahaya kutub yang terang.

“Namun, ia berlaku di sempadan cakera Matahari dan tidak akan memberi kesan ketara kepada kita,” tambahnya.

Jelas beliau, fenomena ini merupakan perkara biasa bagi Matahari.

“Walaupun berskala besar, ini adalah fenomena biasa bagi Matahari. Letusan seperti ini berlaku secara berkala, terutamanya ketika fasa aktiviti suria yang tinggi. Kini, kita sedang melalui kemuncak kitaran 11 tahun itu,” ujar beliau lagi.

Pada hari sama, media turut melaporkan satu letupan suria kelas X iaitu kategori tertinggi dalam skala kekuatan letusan turut direkodkan berlaku di Matahari. Letupan berkenaan berlangsung selama 17 minit, menunjukkan peningkatan ketara dalam aktiviti suria ketika ini, lapor Izvestia.

Sumber: Russian News Agency, Izvestia

BACA: Fenomena Jarang Berlaku, Lebih 150 Ekor Ikan Lumba-Lumba Ditemui Terdampar

BACA: Perkenal Undang-Undang Baharu Untuk AI Beroperasi Secara Bebas – PM Anwar

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.