Siakap Keli
Microsoft "Malaysia West" BINA AI Malaysia
Gambar: Microsoft

Microsoft Umum Rantau Awan “Malaysia West”, Lancar BINA AI Malaysia

Microsoft Umum Rantau Awan “Malaysia West”, Lancar BINA AI Malaysia

Microsoft secara rasmi mengumumkan pelancaran “Malaysia West”, rantau awan pertama syarikat itu di Malaysia yang terletak di Greater Kuala Lumpur.

Pengumuman ini menandakan satu langkah penting dalam komitmen Microsoft untuk memperkasakan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara terangkum di negara ini.

Rantau Awan Malaysia West merupakan infrastruktur hiperskala yang dilengkapi tiga zon ketersediaan, menawarkan perkhidmatan awan berskala besar dengan tahap ketersediaan tinggi, keselamatan kukuh serta kependaman rendah.

Ia juga menyediakan kemudahan penempatan data dalam negara yang amat penting bagi memastikan kedaulatan data dan pematuhan kepada peraturan tempatan.

Melalui kemudahan ini, organisasi di Malaysia dapat mengakses perkhidmatan seperti Microsoft Azure, Microsoft 365 dan aplikasi perniagaan Microsoft yang lain, sekali gus menyokong keperluan produktiviti, analitik data, keselamatan siber, simpanan dan pengkomputeran berasaskan awan.

“Dengan rantau awan baharu ini, kita boleh memanfaatkan teknologi AI dan digital terkini untuk meningkat naik dalam rantaian nilai. Kerajaan telah membina landasan untuk membangunkan persekitaran bertaraf dunia bagi perniagaan berkembang maju, sejajar dengan Prinsip Awan Dipercayai,” kata Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo.

“Microsoft komited untuk menjadi rakan strategik Malaysia dalam transformasi AI. Malaysia West akan menyediakan infrastruktur bertaraf dunia untuk memacu inovasi dengan lebih pantas dan selamat berasaskan awan dan AI,” kata Scott Guthrie, Naib Presiden Eksekutif, Awan dan AI, Microsoft.

PETRONAS jadi rakan utama, sokong transformasi digital

Antara organisasi yang telah menggunakan rantau awan Malaysia West ialah PETRONAS, yang bertindak sebagai rakan utama tempatan.

Dengan kerjasama ini, PETRONAS bersedia mempercepat transformasi digital dan penggunaan AI secara menyeluruh, seiring dengan keutamaan negara dalam memperkukuh kedaulatan data dan membina ekonomi digital yang mampan.

Selain itu, antara pelanggan lain yang telah menyertai penggunaan rantau baharu ini ialah FinHero, SCICOM Berhad, Senang, SIRIM Berhad, TNG Digital (pengendali TNG eWallet) dan Veeam.

Permintaan bagi perkhidmatan awan tempatan dijangka terus meningkat merentasi pelbagai industri.

Impak Ekonomi: RM50 bilion dan 37,000 pekerjaan baharu menjelang 2028

Menurut ramalan firma penyelidikan IDC, dalam tempoh empat tahun akan datang, Microsoft bersama rakan dan pelanggannya dijangka menjana nilai ekonomi sekitar US$10.9 bilion (anggaran RM50 bilion), dengan kira-kira 16.9 peratus hasil tersebut berpunca daripada rantau awan Malaysia West.

Selain itu, lebih 37,000 pekerjaan akan diwujudkan, termasuk 6,000 pekerjaan khusus dalam sektor teknologi maklumat (IT).

Pelancaran BINA AI Malaysia

Bersempena dengan AI Tour Microsoft di Kuala Lumpur, Microsoft turut melancarkan BINA AI Malaysia, sebuah inisiatif berskala besar bagi memacu pembangunan AI negara.

Inisiatif ini bertujuan membina ekosistem AI yang mampan dengan kerjasama sektor awam, swasta dan akademik.

Antara tumpuan utama ialah penubuhan Pusat Inovasi AI Negara Microsoft yang akan bertindak sebagai hab strategik untuk membangunkan penyelesaian dunia sebenar berasaskan AI serta memupuk bakat tempatan.

Microsoft bekerjasama rapat dengan EY Malaysia, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital, dan Pusat Kepimpinan PETRONAS untuk menjayakan pusat ini.

Pusat ini adalah sebahagian daripada pelaburan besar Microsoft bernilai US$2.2 bilion, yang diumumkan pada 2024, bagi menyokong aspirasi digital Malaysia.

800,000 rakyat Malaysia disasar melalui AIForMYFuture

Selain pembangunan teknologi, Microsoft turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan.

Melalui inisiatif AIForMYFuture yang dilancarkan Disember lalu bersama NAIO, Microsoft berhasrat melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran berkaitan AI menjelang akhir 2025.

Sehingga kini, 400,000 orang telah mendapat latihan, termasuk kakitangan sektor kerajaan, syarikat, pelajar, dan golongan rentan.

“Dengan adanya rantau awan Malaysia West yang kini beroperasi dalam negara, kami melihat pelbagai peluang baharu untuk pelanggan kami dari sektor awam hinggalah kepada syarikat pemula. Kami bukan sahaja membina infrastruktur, tetapi juga komited untuk melengkapkan setiap rakyat Malaysia dengan kemahiran digital dan AI,” kata Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si.

Untuk info, usaha ini turut digerakkan bersama pelbagai rakan strategik termasuk Biji-biji Initiative, Persekutuan Wanita Antarabangsa bagi Perdagangan dan Industri Malaysia (IWFCIM), iTrain, PEOPLElogy, Pepper Labs, Urusetia Majlis TVET Negara (MTVET), dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

BACA: Nik Nazmi Umum Letak Jawatan Menteri

Sumber: Microsoft

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.