Siakap Keli
Kredit: Bernama

Nik Nazmi Umum Letak Jawatan Menteri

Nik Nazmi Umum Letak Jawatan Menteri

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatannya yang berkuatkuasa pada 4 Julai 2025.

Menurut kenyataan media, beliau akan mula bercuti bermula esok hingga 3 Julai 2025.

“Sejak dilantik ke dalam Jemaah Menteri, pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022 hingga Disember 2023) dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023 hingga Julai 2025), saya telah berusaha sebaik mungkin bersama Timbalan Menteri dan para penjawat awam yang berdedikasi untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan demi kejayaan telah dicapai sejak beliau menggalas tanggungjawab dalam kementerian tersebut.

“Kejayaan dua kementerian ini termasuklah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] – Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi,” tambah beliau.

Selain itu, beliau turut mengetengahkan pengurangan kadar penyahutanan yang begitu ketara sehingga negara menerima pengiktirafan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

“Hanya dalam beberapa minggu selepas dilantik, kami berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia. Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat. Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan,” ujar beliau.

Tambahan kepada itu, Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) telah dimulakan dan berada di peringkat akhir. RUU tersebut bakal dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen menurut beliau.

“Namun begitu, saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden KEADILAN merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.

“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagi Menteri,” ucap beliau.

Beliau turut menyampaikan penghargaan buat penjawat awam yang bersama-sama beliau sepanjang kepimpinannya.

“Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa,” tambahnya.

Sumber: Bernama

BACA: Rafizi Ramli Umum Letak Jawatan Kabinet, Berkuat Kuasa 17 Jun Ini

BACA: Rafizi Tak Pernah Takut Nyatakan Kebenaran – Nurul Izzah

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.