Rafizi Tak Pernah Takut Nyatakan Kebenaran – Nurul Izzah
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyifatkan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai seorang yang tidak gentar ketika berhadapan dengan kuasa. Beliau juga tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, Izzah berkata pendekatan berani itu telah memacu perubahan wacana nasional, khususnya dalam aspek tadbir urus dan keadilan ekonomi.
“Saya menghormatinya. Banyak idea beliau yang tidak akan dilupakan, malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana, bukan kerana ia datang daripada beliau atau saya, tetapi kerana ia adalah yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, pemikiran seperti Rafizi sentiasa menjadi kekuatan tanpa mengira kedudukan dalam kerajaan mahupun tidak.
“Negara memerlukan idea dan langkah yang berani, dan saya percaya beliau masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberi. Namun, ke mana pun arah perjalanan beliau selepas ini, saya yakin beliau akan terus membentuk masa depan negara ini dengan cara yang bermakna,” ujar beliau.
Bercakap tentang pengurusan parti, beliau menegaskan akan terus berusaha dalam memperkukuh kepimpinan parti.
“Kami akan terus memastikan pimpinan tertinggi parti sentiasa dipantau dengan baik, dan saya berazam untuk memastikan kerja-kerja penting terus dilaksanakan. Tanggungjawab kita untuk sentiasa saling mengingatkan bahawa kita tidak boleh lari daripada nilai dan prinsip yang kita pegang dan perjuangkan selama ini,” maklumnya.
Antara langkah awal yang akan dilaksanakan adalah pengenalan latihan wajib kepada semua pemimpin parti di peringkat pusat, negeri dan cabang. Latihan tersebut dirancang untuk menekankan aspek undang-undang berkaitan pengubahan wang haram (AMLA), rasuah dan pematuhan cukai.
“Kerana tadbir urus yang baik seharusnya dibina atas asas prinsip dan ilmu yang kukuh.
“Ini penting untuk mengelakkan usaha membudayakan politik wang dan salah laku, serta memastikan semua pimpinan memahami tanggungjawab dan memelihara integriti mereka,” tegas beliau lagi.
Katanya, pemimpin politik harus menjadi contoh kepada perubahan yang ingin dilihat dalam masyarakat dan sistem pentadbiran negara.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa pada 17 Jun 2025.
Sumber: Nurul Izzah Anwar
BACA: Nurul Izzah Tewaskan Rafizi, Sandang Jawatan Timbalan Presiden PKR
BACA: Nurul Izzah Kongsi Langkah Pertama Sebagai Timbalan Presiden PKR