Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sultan Brunei Dinasihat Tidak Terima Pelawat – Pejabat Perdana Menteri
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah kini berada dalam keadaan baik selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam.
Anwar dalam satu kenyataan berkata, Sultan Hassanal dinasihatkan untuk tidak menerima mana-mana pelawat buat masa ini bagi proses pemulihan.
“Alhamdulillah, keadaan Baginda Tuanku dilaporkan stabil dan berada dalam keadaan baik. Namun begitu, Baginda masih memerlukan pemantauan oleh pasukan perubatan.
“Ketika ini, Baginda ditemani oleh Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
“Sehubungan itu, pihak perubatan telah menasihatkan agar Baginda Tuanku untuk tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini, kecuali daripada keluarga Diraja Brunei sahaja, demi memastikan proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar,”katanya dalam kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, Anwar menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan semoga Baginda Tuanku dikurniakan afiyah sesegera mungkin serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini dilaporkan telah menziarahi baginda.
Pada Selasa, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas dilaporkan mengalami keletihan.
Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media penutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berakhir hari ini.
Namun begitu, Perdana Menteri tidak memperincikan keadaan kesihatan baginda secara lanjut.
“Sultan Brunei dalam keadaan sedikit penat dan baginda berehat di IJN,” katanya ringkas.
Sumber: FB Anwar Ibrahim