Kemalangan Libat Enam Kenderaan Sebabkan Kesesakan 11Km
NIBONG TEBAL, 29 Mei (Bernama) — Dua termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera ringan dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Kilometer (KM) 160 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Jawi menghala ke Tambun di sini, tengah hari tadi.
Kemalangan itu menyebabkan trafik sesak sejauh 11 kilometer berikutan lorong kanan terhalang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.38 tengah hari dan menggerakkan sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Nibong Tebal ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan enam kereta tetapi tiga daripadanya didapati telah beredar sebaik bomba tiba. Tiga kenderaan yang masih berada di lokasi adalah kereta jenis Honda City, Mazda 3 dan Perodua Axia.
“Keseluruhan mangsa yang terlibat adalah sembilan orang dan hanya dua daripadanya iaitu wanita berusia 30-an dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang menaiki kereta Perodua Axia cedera ringan manakala seorang lelaki dalam kereta itu dan enam mangsa dalam kenderaan lain tidak mengalami sebarang cedera,” katanya dalam kenyataan.
John berkata mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada 1.12 tengah hari.
BACA: Polis Gombak Lumpuhkan Dua Sindiket Dadah, Rampasan Bernilai Lebih RM7 Juta
Sumber: BERNAMA