Siakap Keli

Suami Isteri Dikejutkan Dengan Kehadiran Lapan Ekor Anak Ular Tedung Senduk Di Dapur

Suami Isteri Dikejutkan Dengan Kehadiran Lapan Ekor Anak Ular Tedung Senduk Di Dapur

KUALA TERENGGANU, 29 Mei (Bernama) — Sepasang suami isteri di Kampung Banggol Katong di sini dikejutkan dengan kehadiran lapan ekor anak ular tedung senduk di dapur rumah mereka sejak Selasa lepas.

Muhammad Aslam Husseini Mohd Taufik, 29, berkata kali pertama dia menyedari kehadiran reptilia berbisa itu, yang berada pada jarak kira-kira sejengkal dari kakinya, ketika minum air di dapur.

“Saya ingatkan itu hanya anak ular biasa yang tidak berbisa jadi saya pukul hingga mati dan buang bangkainya… saya tidak mengesyaki apa-apa kerana saiz anak ular tersebut yang kecil dan ia tidak menegakkan kepalanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Bagaimanapun, pemilik syarikat kopi tempatan itu sekali lagi dikejutkan dengan kemunculan lima ekor anak ular spesies sama di belakang pintu dapur ketika ingin memasak petang semalam.

“Selepas itu, saya segera hubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) memandangkan ada anak ular tedung senduk itu yang menegakkan kepalanya.

BACA: Kemalangan Libat Enam Kenderaan Sebabkan Kesesakan 11Km

“Selepas APM selesai operasi dan pulang, kira-kira tiga jam selepas itu saya jumpa dua ekor anak ular spesies sama di celah-celah barangan di dapur dan sekali lagi saya hubungi APM,” katanya.

Muhammad Aslam Husseini berkata insiden itu menyebabkan dia terpaksa meminta bapa mentua membawa pulang isterinya Shafiqah Areesa Ramlan, 28, yang sedang mengandung enam bulan kerana bimbang akan keselamatan wanita itu.

Dia berkata penemuan anak-anak ular itu adalah kejadian pertama yang dialaminya sejak menyewa rumah berkenaan dua tahun lepas.

Pegawai Operasi APM Daerah Kuala Nerus Leftenan Muda (PA) Nor Dahlia Razelan ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan pertama pada 5.15 petang semalam dan panggilan kedua pada 8.20 malam.

Beliau berkata seorang pegawai bersama tiga anggota telah bergegas ke lokasi kejadian dan pihaknya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk menangkap kesemua anak ular bagi kedua-dua operasi.

“Walaupun ular ini masih lagi kecil tetapi ia amat berbahaya dan boleh menyebabkan kematian apatah lagi isteri pemanggil sedang sarat mengandung,” katanya sambil memaklumkan reptilia berbisa itu akan diserah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan lanjut.

BACA: Polis Gombak Lumpuhkan Dua Sindiket Dadah, Rampasan Bernilai Lebih RM7 Juta

Sumber: BERNAMA

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.