Siakap Keli
gajah laut cape town
Kredit: The Straits Times

Trafik Terganggu, Tular Gajah Laut Sesat Di Kawasan Perumahan 

Trafik Terganggu, Tular Gajah Laut Sesat Di Kawasan Perumahan 

Cape Town – Seekor gajah laut selatan sesat ke kawasan perumahan di Gordon’s Bay, Afrika Selatan semalam sehingga menyebabkan lalu lintas di sebuah kawasan perumahan tergendala.

Menurut laporan Discover Wildlife, kejadian tersebut tular apabila satu rakaman video memaparkan mamalia laut bersaiz besar itu merayau di kawasan kediaman. Haiwan berkenaan turut menghampiri sebuah kereta polis peronda dan meletakkan dagunya di atas bahagian hadapan kenderaan tersebut sebelum menuju ke arah kaki lima.

Jurucakap Persatuan Pencegahan Penganiayaan terhadap Haiwan (SPCA) Cape of Good Hope, Belinda Abraham berkata haiwan itu dikenal pasti sebagai gajah laut selatan muda (Mirounga leonina) dan pihaknya mengambil masa hampir sembilan jam untuk memindahkannya ke habitat pantai yang lebih sesuai.

“Haiwan liar tidak sentiasa mengikut aturan dan perjalanan mengejut gajah laut ini ke kawasan perumahan memang menimbulkan kebimbangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, insiden itu memerlukan koordinasi pantas melibatkan pelbagai pihak memandangkan kehadiran orang awam, lalu lintas serta saiz haiwan berkenaan yang besar dan berada dalam keadaan tertekan.

Menurut SPCA, gajah laut itu ditemui hampir satu kilometer dari pantai dan kini telah berjaya dilepaskan semula ke persekitaran asalnya.

Kredit: The Straits Times

“Kejayaan ini benar-benar hasil usaha bersama. Kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu atas profesionalisme, keprihatinan dan tindak balas pantas terhadap haiwan yang memerlukan bantuan,” kata Abraham.

Menurut laporan The Straits Times, gajah laut berkenaan dilihat seawal pagi 27 Mei. Penduduk tempatan memberi nama panggilan kepadanya sebagai Gordy.

SPCA memaklumkan haiwan tersebut dipercayai telah berenang sejauh lebih 1,500 kilometer sebelum sesat ke Gordon’s Bay. Mamalia tersebut dianggarkan seberat 2,000 kilogram.

Beberapa usaha dilakukan oleh pihak polis dan syarikat keselamatan tempatan untuk mengepung haiwan itu dengan meletakkan kenderaan peronda di sekelilingnya. Gordy dilaporkan berhenti di tepi sebuah pusat beli-belah dan turut dilihat di atas rumput luar sebuah rumah.

Disebabkan lokasi penemuan yang terlalu jauh dari laut, pihak berkuasa bimbang Gordy akan mengalami keletihan dan dehidrasi. Susulan itu, pasukan yang terdiri daripada pakar hidupan liar marin dan doktor haiwan bandaraya telah menenangkannya dengan ubat pelali. Gordy kemudian dipindahkan dengan menggunakan treler khas haiwan.

Gordy dilepaskan ke Kogel Bay dan keadaannya dipantau sehingga pulih daripada kesan ubat pelali sebelum kembali ke laut. Namun begitu, mamalia tersebut kemudian dikesan semula berhampiran pangkalan tentera laut di Simon’s Town. Ia dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Gajah laut selatan merupakan spesies anjing laut terbesar di dunia dan kebiasaannya ditemui di kawasan sub-Antartika. Spesis ini amat jarang ditemui di perairan Afrika Selatan. Namun kadangkala, gajah laut jantan yang muda ditemui tersesat secara bersendirian di pantai wilayah ini.

@cnn

A Southern elephant seal makes a surprise visit to the residential neighborhood of Gordon’s Bay in Cape Town, South Africa, and triggers an almost nine-hour rescue effort to return him to the coast. #CNN #news #SouthAfrica #seal

♬ original sound – CNN

Sumber: Discover Wildlife, CNN, The Straits Times

BACA: Imej Burung Misteri Di Matahari Cetus Tanda Tanya, Saintis Tampil Jelaskan

BACA: Siling Pawagam Runtuh Ketika Tayangan Final Destination

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.