Jackie Chan Dedah “Rahsia” Keluarga & Nama Sebenar
Pelakon legenda, Jackie Chan, baru-baru ini mengejutkan ramai apabila mendedahkan “rahsia” keluarganya. Lebih mengejutkan, Jackie turut berkongsi bahawa nama sebenarnya bukanlah “Chan” seperti yang dikenali umum.
Rahsia terbongkar ketika usia 40-an
Dalam satu temu bual eksklusif bersama People Magazine, Jackie yang kini berusia 71 tahun berkongsi detik mengejutkan dalam hidupnya.
Menurut Jackie, ayahnya, Charles Chan, mendedahkan satu rahsia besar ketika mereka berada dalam sebuah kereta.
“Ayah saya sangat kacak, dan sebenarnya dia seorang perisik (spy). Saya tahu rahsia ini sewaktu saya berusia sekitar 40-an,” katanya.
Jackie juga berkongsi bahawa beliau sangat terkejut apabila ayahnya memberitahu bahawa nama yang digunakannya selama ini sebenarnya bukan nama aslinya.
“Anak, saya sudah tua. Mungkin suatu hari nanti saya tidur dan tak bangun lagi. Saya ada satu rahsia nak beritahu… Sebenarnya, kamu bukan Chan. Nama asal kamu ialah Fang,” kata ayahnya, seperti dikongsikan oleh Jackie.
Jackie mengakui beliau sangat terkejut dan sukar untuk menerima kenyataan itu pada ketika itu.
Dokumentari bongkar kisah keluarga
Pada 2003, Jackie menghasilkan sebuah dokumentari berjudul “Traces of the Dragon: Jackie Chan and His Lost Family” yang membongkar sejarah silam keluarganya.
Dokumentari tersebut mendedahkan bahawa ayahnya pernah menjadi perisik kerajaan ketika Perang Saudara China pada era 1940-an.
Lebih mengejutkan, ibunya, Lee-Lee, pula mempunyai latar belakang sebagai penyeludup candu dan kaki judi sebelum berkahwin dengan Charles Chan.
Dari filem Hong Kong ke Hollywood
Jackie Chan mula mencipta nama di peringkat antarabangsa menerusi filem “Rumble in the Bronx” pada 1995.
Namanya terus melonjak selepas kejayaan besar filem “Rush Hour” pada 1998, di mana beliau bergandingan dengan Chris Tucker dalam genre komedi aksi yang sangat popular ketika itu.
Kembali beraksi dalam “Karate Kid: Legends”
Kini, Jackie kembali menghangatkan dunia perfileman menerusi filem terbaharu, “Karate Kid: Legends”.
Dalam filem ini, Jackie sekali lagi membawakan watak sebagai guru seni mempertahankan diri dan bergandingan dengan Ralph Macchio, yang turut kembali membawakan wataknya terdahulu.
Filem ini menampilkan pelakon muda, Ben Wang, yang memegang watak utama sebagai pelajar baru dalam seni mempertahankan diri di bawah bimbingan watak Chan dan Macchio.
Treler filem memaparkan aksi-aksi mendebarkan di sebuah akademi seni mempertahankan diri dan babak-babak dramatik di kota New York.
BACA: Cuaca Panas: 6 Kawasan Berada Pada Tahap Berjaga-Jaga
Sumber: Economic Times