Malaysia Terajui Usaha Dengan Garis Panduan Perkongsian & Pelaporan Bertanggungjawab Berkaitan Bunuh Diri
KUALA LUMPUR, 3 JUN 2025 — Malaysia terus melakar sejarah dalam bidang tadbir urus kandungan yang bertanggungjawab dan advokasi kesihatan mental dengan pelancaran rasmi “Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri” oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF).
Inisiatif yang diterajui industri ini menjadi kerangka rujukan kebangsaan untuk menetapkan piawaian liputan dan perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri merentasi platform tradisional dan digital.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi. Garis panduan ini dibangunkan melalui pendekatan inklusif yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan, Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Negara (NCEMH), pakar kesihatan, pengamal media, pertubuhan masyarakat sivil, platform teknologi serta individu dengan pengalaman hidup sebenar.
Berbeza dengan garis panduan sedia ada yang lazimnya tertumpu kepada amalan di bilik berita, inisiatif Malaysia ini melangkah lebih jauh dengan memberi panduan praktikal merangkumi semua bentuk kandungan — daripada wartawan, pempengaruh dan pencipta kandungan, hinggalah kepada pengguna harian.
Ia menetapkan penanda aras baharu bagi amalan kandungan yang beretika, mencerminkan komitmen seluruh masyarakat terhadap pencegahan bunuh diri. Penekanan diberikan kepada kepekaan, ketepatan fakta, dan keseimbangan antara kepentingan awam dan keperluan untuk mengurangkan mudarat.
Garis panduan ini telah dirangka berdasarkan sesi rundingan awam yang dijalankan di seluruh negara awal tahun ini.
Sesi ini melibatkan penyertaan orang awam, ahli akademik, advokat kesihatan mental dan pertubuhan masyarakat sivil, bagi memastikan dokumen akhir mencerminkan realiti semasa dan sensitiviti masyarakat Malaysia yang pelbagai.
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood berkata, “Proses pembangunan garis panduan ini mempertemukan pelbagai pihak daripada latar belakang yang berbeza, masing-masing dengan matlamat tersendiri. Tetapi melalui proses yang terbuka dan kolaboratif inilah, kami berjaya membentuk satu kerangka yang bukan sahaja praktikal tetapi juga bersifat kemanusiaan. Kekuatan garis panduan ini terletak pada kepelbagaian suara yang membentuknya.”
Mengukuhkan lagi matlamat utama inisiatif ini, Pengerusi CMCF, Rafiq Razali menyatakan, “Dalam era di mana tajuk berita bersaing untuk menarik perhatian dan hantaran media sosial tular dalam sekelip mata, adalah penting untuk amalan kandungan kita dipandu oleh niat dan empati. Cara kita bercakap tentang isu bunuh diri memberi kesan besar, dan ia harus dilakukan dengan penuh teliti dan berperikemanusiaan. Melalui garis panduan ini, kami berharap dapat menyediakan satu kerangka yang melindungi golongan rentan, memperkasakan yang celik, dan menyokong wacana nasional yang lebih sihat dan berbelas ihsan.”
Garis panduan ini merangkumi panduan jelas bagi pelaporan yang beretika, daripada penggunaan bahasa yang sesuai, kepada larangan penggunaan imej grafik atau tajuk sensasi. Ia turut menekankan kepentingan menyertakan maklumat sokongan kesihatan mental dalam kandungan berkaitan bunuh diri, serta memperkenalkan konsep “Kesan Papageno” – iaitu kesan perlindungan daripada kandungan media yang menonjolkan kisah pemulihan, strategi daya tindak, dan galakan untuk mendapatkan bantuan.
Lebih penting lagi, garis panduan ini turut meliputi ekosistem digital secara menyeluruh, dengan panduan praktikal tentang cara berkongsi pengalaman hidup dengan selamat, mengelakkan kandungan mencetuskan trauma, dan membantu orang ramai kepada perkhidmatan sokongan yang tersedia.
Pendekatan menyeluruh ini mencerminkan kesedaran bahawa setiap individu memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran kandungan yang lebih selamat dan penuh empati.
Usaha kepimpinan Malaysia dalam inisiatif ini turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, apabila garis panduan ini telah dipilih untuk dibentangkan pada International Association for Suicide Prevention (IASP) World Congress 2025 di Vienna.
Untuk maklumat lanjut mengenai garis panduan ini, sila layari: www.contentforum.my