Siakap Keli
Pengurus Kantin PhD
Kredit: Gambar AI ImageFX

Universiti Di China Tetapkan Pengurus Kantin Kena Ada PhD

Universiti Di China Tetapkan Pengurus Kantin Kena Ada PhD

Sebuah universiti di timur China telah mencetuskan kontroversi selepas menetapkan syarat calon jawatan pengurus kantin agar memiliki kelayakan Ijazah Kedoktoran (PhD).

Universiti yang terletak di Nanjing, wilayah Jiangsu, mengiklankan tawaran jawatan tersebut di dalam web rasminya pada 22 Mei lalu.

Universiti terbabit adalah antara 39 universiti di tanah besar China yang dianggap sebagai tiket utama untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang baik.

Menurut iklan tersebut, jawatan sebagai Pengurus Pejabat bagi operasi kantin universiti mewajibkan calon untuk memiliki PhD.

Tanggungjawab jawatan ini merangkumi penyeliaan terhadap pembangunan dan penyediaan hidangan, pengurusan kontraktor kantin, pemantauan keselamatan makanan serta pengendalian tugas-tugas pentadbiran.

Selain tanggungjawab tersebut, calon juga perlu mempunyai kemahiran dalam bahasa Inggeris dan kemahiran perisian pejabat.

Tambahan pula keutamaan diberikan kepada mereka yang memiliki pengalaman kerja yang relevan serta keahlian dalam Parti Komunis.

Seorang kakitangan universiti memaklumkan kepada Shangyou News bahawa calon tidak diwajibkan untuk menjadi tukang masak.

Namun begitu keutamaan akan diberikan kepada mereka yang memiliki kelulusan dalam bidang makanan, pemakanan dan seni kulinari dan juga mereka yang mempunyai sijil kemahiran memasak.

Gaji tahunan yang ditawarkan bagi jawatan tersebut adalah sebanyak 180,000 yuan (kira-kira RM106,182) mengikut standard kebangsaan.

Tahun lalu, purata gaji tahunan bagi pekerja di sektor bukan swasta bandar adalah 124,110 yuan (kira-kira RM73,212.49), manakala sektor swasta mencatatkan purata 69,476 yuan (kira-kira RM40,983.89), menurut Biro Statistik Kebangsaan.

Proses pengambilan ini dijangka amat kompetetif kerana jawatan pengurus di universiti ternama dianggap sebagai “mangkuk nasi emas”, menunjukkan simbol pekerjaan tetap yang sangat baik.

Merujuk South China Morning Post, iklan jawatan ini telah mencetuskan perdebatan hangat dalam talian.

Hal ini kerana ramai yang beranggapan bahawa keperluan PhD adalah melampau bagi jawatan tersebut.

“Sejak bila kantin perlukan PhD untuk beroperasi?” soal seorang pengguna internet.

“Ini akibat daripada fenomena neijuan,” kata seorang lagi.

Fenomena ‘neijuan’ dan diskriminasi kelayakan

Istilah neijuan merujuk kepada persaingan berlebihan yang tidak memberikan pulangan yang setimpal.

Akibat tekanan fenomena neijuan, ramai individu berasa terpaksa untuk mencapai tahap akademik yang lebih tinggi.

Namun begitu, mereka masih perlu bergelut untuk mendapatkan pekerjaan yang diingiini walaupun dengan tahap pendidikan yang hebat.

Sehingga April, kadar pengangguran bandar bagi golongan berumur 16 hingga 24 tahun di China berada pada 15.8 peratus, sedikit menurun daripada 16.5 peratus pada bulan Mac.

Walaupun undang-undang China melarang diskriminasi pekerjaan berdasarkan kaum, etnik, jantina atau kepercayaan agama, latar belakang pendidikan tidak termasuk dalam perlindungan rasmi.

Namun, semakin ramai pemohon mendakwa ditolak atas alasan kelayakan akademik yang tidak relevan dengan keperluan jawatan.

Dalam Sidang Dua Tahunan (Two Sessions) tahun ini, perwakilan kepada Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC), Gan Huatian, mencadangkan pindaan undang-undang bagi melarang diskriminasi terhadap latar belakang pendidikan dalam dasar pengambilan pekerja.

BACA: Masjidil Haram Guna Sistem Penyejukan Terbesar Dunia Sempena Musim Haji

BACA: Pandu E-Hailing 15 Jam Sehari Demi Sara Anak, Bapa Meninggal Akibat Strok

BACA: Juruterbang Kongsi 10 Pemandangan Memukau Dari Kokpit

Sumber: South China Morning Post

Siti Nur Ain Natasya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.