“Memalukan,” Elon Musk Kecam Rang Undang-Undang Trump
Ketegangan antara Elon Musk dan Donald Trump tercetus pada Selasa apabila individu terkaya di dunia itu mengecam rang undang-undang ekonomi Trump beberapa hari selepas berundur daripada jawatannya di Rumah Putih, lapor AFP.
Musk menyatakan rasa tidak puas hati secara terbuka menerusi laman X miliknya.
“Inilah rang undang-undang perbelanjaan Kongres yang sangat besar, melampau dan dipenuhi pembaziran, satu kehinaan yang menjijikkan.
“Orang yang mengundi rang undang-undang ini sangat memalukan, anda tahu anda telah buat perkara yang salah,” katanya.
Kritikan berkaitan undang-undang terbabit bukan pertama kali dilakukan oleh Musk, cuma ia tidak ‘sepedas’ seperti yang dinyatakan kini.
Pada Selasa, beliau berkata rang undang-undang itu yang sedang dipertimbangkan oleh Kongres akan membebankan rakyat dengan hutang yang sangat tidak mampan.
Kritikan itu menunjukkan hubungan yang semakin tegang antara Rumah Putih dan Musk, yang dilaporkan telah menyumbang hampir $300 juta kepada kempen pilihan raya Trump 2024.
BACA: Elon Musk Angkat Kaki, Tinggalkan Pentadbiran Trump
Sementara itu, rang undang-undang yang dikritiknya itu mengurangkan insentif cukai untuk kenderaan elektrik. Hal tersebut menjadi satu tamparan yang hebat buat Tesla. Musk juga gagal dalam cubaan untuk menjadikan sistem satelit Starlink miliknya untuk digunakan bagi kawalan trafik udara.
Axios melaporkan Musk turut berang apabila Trump menarik semula pencalonan sekutunya, Jared Isaacman, sebagai ketua Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).
Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt turut memberi kenyataan balas berhubung hantaran Musk.
“Presiden sudah tahu di mana pendirian Elon Musk dalam rang undang-undang ini, ia tidak mengubah pendapatnya,” katanya.
Ketika pertelingkahan ini tercetus, wakil-wakil Republikan di Dewan sedang bersedia meluluskan undang-undang yang dihantar dari White House bagi mengabsahkan pemotongan belanjawan DOGE sebanyak $9.4 bilion. Kebanyakannya melibatkan dana untuk penyiaran awam dan bantuan luar negara.
Terdahulu, Musk memaklumkan bahawa beliau telah meninggalkan Rumah Putih dan tidak lagi akan mengetuai DOGE.
Menerusi catatan di laman X, Musk mengucapkan terima kasih kepada Trump atas peluang yang diberikan kepadanya dalam jabatan itu.
Sumber: AFP