Peluasan Woodlands Checkpoint: Singapura Akan Ambil Alih Dua Bidang Tanah Milik Malaysia
Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) mengumumkan pengambilan dua bidang tanah milik kerajaan Malaysia bagi tujuan pembangunan semula dan peluasan Woodlands Checkpoint, lapor CNA.
Dalam kenyataan bersama oleh SLA dan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), pihak berkuasa Singapura menegaskan bakal bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia sepanjang proses pengambilan tanah ini.
“Kami akan terus mengukuhkan kerjasama erat dengan kerajaan Malaysia bagi meningkatkan keterhubungan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Tanah tidak digunakan, terletak di tengah-tengah kawasan projek
CNA melaporkan, kedua-dua bidang tanah tersebut berkeluasan keseluruhan 0.79 hektar, sedikit lebih besar daripada padang bola sepak, dan kini diliputi tumbuhan serta tidak digunakan.
Lokasinya terletak hampir di tengah-tengah kawasan yang dirancang untuk pembangunan semula.
Pengambilan tanah ini adalah sebahagian daripada pelan ICA untuk membangunkan dan memperluaskan Woodlands Checkpoint secara berperingkat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Difahamkan, langkah ini bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan kronik di laluan darat tersebut.
Untuk rekod, pada 2024, jumlah harian pengguna Woodlands Checkpoint meningkat sebanyak 22 peratus kepada 327,000 orang, berbanding 269,000 pada tahun sebelumnya.
Pada 20 Disember 2024, semasa cuti sekolah hujung tahun, jumlah pengguna mencapai rekod tertinggi sebanyak 376,000 orang dalam satu hari.
Menjelang tahun 2050, purata harian dijangka mencecah 400,000 pengguna.
Susulan itu, ICA turut memaklumkan bahawa Singapura telah menghantar surat kepada Malaysia masing-masing pada Mei 2022 dan November 2023 untuk mencadangkan pembelian tanah tersebut.
Fasa pertama pembinaan bermula 2025
Di bawah Fasa Pertama pembangunan, ICA akan membina sambungan baharu kepada Woodlands Checkpoint di kawasan bekas Pusat Bandar Lama Woodlands. Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2025.
Fasa ini merangkumi kemudahan pelepasan automatik baharu untuk kenderaan kargo dan kenderaan masuk ke Singapura.
Lebuh Raya Bukit Timah (BKE) juga akan dipanjangkan untuk menyediakan laluan terus dari Woodlands Checkpoint ke lebuh raya. Ini sekali gus mengurangkan kesesakan trafik di jalan-jalan tempatan pada waktu puncak.
Selain itu, fasa-fasa seterusnya akan melibatkan pembinaan kemudahan pelepasan tambahan dan penaiktarafan pada struktur sedia ada Woodlands Checkpoint.
Menurut CNA, pembangunan semula keseluruhan Woodlands Checkpoint bertujuan meningkatkan kecekapan pemeriksaan untuk semua jenis pengangkutan.
Ia juga bertujuan mengurangkan purata masa perjalanan semasa waktu puncak kepada 15 minit, serta meningkatkan tahap automasi melalui sistem pemeriksaan imigresen dalam kenderaan.
Dalam pada itu, ICA berhasrat menambah baik keselamatan dengan mewujudkan kawasan pemeriksaan jauh dari struktur utama serta menyediakan kawasan menunggu kenderaan di dalam kompleks untuk mengurangkan kesesakan di BKE dan jalan sekitarnya.
“ICA akan terus memanfaatkan teknologi dan membangunkan penyelesaian inovatif bagi memudahkan perjalanan dan perdagangan rentas sempadan, sambil memastikan sempadan negara kekal selamat,” tambah kenyataan itu.
BACA: Penguatkuasaan Penuh VEP Di Sempadan Malaysia-Singapura Mulai 1 Julai 2025 – Loke
Sumber: CNA