Pempengaruh 17 Tahun Maut Ditembak Dalam Rumah
Seorang pempengaruh TikTok dan Instagram yang terkenal di Pakistan meninggal dunia selepas ditembak di dalam rumahnya di Islamabad pada Isnin, lapor The Indian Express.
Menurut media Pakistan, Samaa TV, Sana Yousaf yang berusia 17 tahun telah ditembak dua kali dalam jarak dekat. Suspek dipercayai berbual dengan Sana di luar rumahnya sebelum masuk dan melepaskan tembakan.
“Suspek memasuki rumah, melepaskan beberapa das tembakan dan melarikan diri,” kata seorang pegawai polis.
Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS) untuk proses bedah siasat.
Samaa TV melaporkan bahawa penyerang itu mungkin tetamu di kediaman mangsa.
“Sana Yousaf yang berasal dari Upper Chitral maut ditembak oleh tetamu yang datang melawatnya. Suspek melarikan diri sejurus kejadian terbabit dan polis telah melancarkan operasi untuk memburu suspek,” kata saluran itu memetik sumber polis.
Insiden itu telah mencetuskan kemarahan di media sosial dan ramai yang menuntut keadilan untuk mangsa. Tanda pagar seperti #JusticeForSanaYousaf mula menjadi sohor kini di platform seperti Instagram dan X.
BACA: TikToker Wanita Maut Ditembak Ketika “Live”
Kebanyakan pengikut juga memenuhi komen di hantaran media sosial Sana dengan doa dan harapan agar suspek diberkas dengan segera.
Sana terkenal melalui video TikTok dan dikagumi kerana mempromosikan tradisi Chitrali, hak wanita dan pendidikan. Dia yang juga anak perempuan kepada seorang aktivis sosial itu sering menggunakan platform media sosial untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu yang melibatkan komunitinya terutama wanita muda.
Dia juga aktif di Instagram dan mempunyai 500,000 pengikut di aplikasi itu.
Kejadian ini meningkatkan lagi masalah keganasan terhadap pempengaruh wanita muda di negara terbabit. Awal tahun ini, seorang gadis berusia 15 tahun di Quetta turut maut ditembak oleh bapa dan bapa saudaranya selepas menyiarkan video di TikTok.
Kedua-dua lelaki terbabit mengaku melakukan pembunuhan tersebut selepas ditangkap oleh pihak polis.
Mereka bertindak sedemikian kerana telah melarang mangsa untuk memuat naik video di aplikasi terbabit namun ia tidak diendahkan oleh mangsa.
Sumber: The Indian Express,