Guna Logo Halal Tidak Sah Kilang Bungkus Minyak Masak Diserbu
IPOH, 5 Jun (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 5,540 kilogram (kg) minyak masak peket menggunakan logo halal tidak sah yang dianggarkan bernilai RM14,233.
Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan dilakukan dengan kerjasama pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sebuah kilang pembungkus minyak masak di Kawasan Perindustrian Ringan, Jelapang dekat sini pada 2.30 petang semalam.
“Kilang itu didapati menjalankan aktiviti pembungkusan minyak masak serta menggunakan logo halal pada bungkusan produk berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap pemilik kilang mendapati sijil halal yang dimiliki telah digantung disebabkan pelanggaran syarat pensijilan halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata pihaknya turut mengambil keterangan seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun yang mengaku sebagai pengurus syarikat berkenaan.
Kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Sumber: BERNAMA