Jabatan Pertanian Tamatkan Pendaftaran Racun Perosak Berasaskan Methamidophos
Jabatan Pertanian Malaysia mengumumkan penarikan semula pendaftaran racun serangga perosak jenis insektisid, Methamidophos hari ini.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi jabatan berkenaan, keputusan ini dibuat susulan Mesyuarat Bil. 4 Tahun 2023 Jawatankuasa Penasihat Racun Makhluk Perosak (JPRMP).
“Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian semula risiko yang menunjukkan bahawa Methamidophos tidak lagi memenuhi keperluan dari aspek keselamatan terhadap manusia dan alam sekitar,” maklum jabatan berkenaan.
Racun serangga yang berada dalam kumpulan organofosfat ini digunakan bagi mengawal serangan serangga perosak dalam tanaman makanan.
“Namun, hasil penelitian dan rujukan kepada amalan antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, China, India dan negara-negara ASEAN mendapati kebanyakan negara telah menamatkan penggunaan bahan aktif ini atas faktor toksikologi yang tinggi serta risiko kesihatan yang ketara kepada pengguna dan pekerja ladang,” jelas jabatan berkenaan lagi.
Berikutan itu, Jabatan Pertanian menamatkan pendaftaran semua produk berdaftar yang mengandungi Methamidophos. Malah, pengimportan dan penjualan produk tersebut juga tidak lagi dibenarkan dalam pasaran Malaysia.
Sehubungan dengan itu, pihak industri serta pengguna dinasihatkan untuk menghentikan penggunaan produk yang mengandungi bahan aktif berkenaan. Jabatan tersebut turut mengarahkan pelupusan baki produk dijalankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa. Langkah ini penting bagi mengelakkan berlaku pencemaran dan risiko kesihatan.
Jabatan Pertanian menegaskan komitmen dalam memastikan hanya bahan kimia selamat digunakan dalam sektor pertanian negara.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kawalan terhadap racun makhluk perosak sejajar dengan matlamat pembangunan pertanian yang lestari dan selamat kepada pengguna serta alam sekitar,” tambah jabatan berkenaan.
Dalam kenyataan yang sama, pihak Jabatan Pertanian turut mendedahkan hala tuju pengharaman tiga jenis racun serangga perosak yang melibatkan racun jenis Trichlorfon, Methamidophos dan Monocrotophos.

Sumber: Jabatan Pertanian Malaysia
BACA: Agensi Pengangkutan Awam Perlu Diterajui Profesional, Bukan Ahli Politik – Loke
BACA: Persoalan Undang-Undang Bukan Tentang Kekebalan Peribadi Tetapi Integriti Perlembagaan – PM Anwar