Dr Asyraf Kongsi Kisah Graduan TVET MARA Kini Mekanik Pesawat Di Doha
Graduan TVET Majlis Amanah Rakyat (MARA) sekali lagi membuktikan kemampuan mereka apabila berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa.
Dengan Sijil Teknologi Fabrikasi daripada Institut Kemahiran MARA (IKM) Kampung Pandan, Ibrahim, anak jati Merlimau, Melaka kini bekerja sebagai mekanik pesawat di Doha bersama sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.
Kisah itu dikongsi oleh Pengerusi MARA, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi laman Facebook miliknya.
Maklum Dr Asyraf, beliau ketika itu dalam perjalanan pulang dari Doha ke Kuala Lumpur.
Secara spontan, beliau disapa oleh seorang pemuda yang memperkenalkan dirinya dan mengakui merupakan bekas pelajar MARA.
“Dr, saya anak MARA. Graduan IKM Kampung Pandan,” sapa Ibrahim.
Apabila ditanya, Ibrahim berkongsi bahawa dia merupakan lepasan TVET MARA dalam bidang teknologi fabrikasi.
Kini, beliau bekerja membaiki badan pesawat untuk Qatar Airways. Gaji yang diterimanya mencecah antara RM17,000 hingga RM20,000.
Lebih mengejutkan, Ibrahim berkata hampir semua rakan sekelasnya dari IKM Kampung Pandan juga mendapat pekerjaan dalam bidang sama dengan gaji serupa.
Inilah bukti bahawa kerjaya TVET gaji tinggi bukan lagi satu ‘mitos’. Ia adalah realiti, jika seseorang itu tekun dan mahir dalam bidang dipelajari.
Pendidikan TVET di Malaysia, khususnya yang ditawarkan oleh MARA seperti di GiatMARA, IKM, KKTM, MJII, UniKL dan GMI, bukan sekadar untuk pelajar yang kurang cemerlang akademik. Malah, ia kini menjadi pilihan bijak untuk peluang mendapat pekerjaan di luar negara.
Kejayaan Ibrahim membuktikan bahawa hanya dengan sijil kemahiran profesional, seseorang itu mampu mengubah hidup, malah mencipta nama di luar negara.
Bidang mekanik pesawat bukan calang-calang, dan pemuda itu buktikan bahawa anak MARA juga mampu bersaing di peringkat global.
“Ibrahim satu contoh bagaimana hanya dengan sijil kompetensi dan profesional bidang TVET boleh mendapat kerja bergaji besar hingga diiktiraf di peringkat antarabangsa. Hanya dengan ilmu boleh mengubah kehidupan,” ujar Asyraf.
Sumber: Dr Asyraf Wajdi Dusuki
BACA: Ada Tauke Buat Hal ‘Curi’ Gas Subsidi, Punca Rakyat Kena Tempias?
BACA: Tidak Rasmi: Dua Beregu Lelaki Negara Pegang Ranking Nombor 1 & 2 Dunia