Siakap Keli

Ramai Keluh Gaji Rendah, Tapi Statistik Ini Dedah Gaji Purata Graduan Malaysia Cecah RM4,537

Kebelakangan ini, isu gaji permulaan yang rendah bagi graduan semakin hangat diperkatakan. Ramai yang meluahkan rasa kecewa terutama apabila melihat gaji yang diterima tidak sepadan dengan usaha mereka semasa belajar.

Tak kurang juga ada yang membandingkan kadar gaji pada masa ini dengan gaji minima 20 tahun lalu yang disifatkan tidak seiring kenaikan kos sara hidup. Pun begitu, sejauh mana isu ini menggambarkan realiti semasa para graduan kita?

Data beri gambaran berbeza

Laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2023 menyatakan gaji pertengahan bagi graduan pada 2023 mencecah RM4,409, manakala gaji purata RM4,933. Difahamkan, data ini merangkumi gaji permulaan semua industri di Malaysia, bukan melibatkan sektor tertentu sahaja.

Selain itu, data dari MYFutureJobs pada April 2025 juga menunjukkan purata gaji bagi sektor yang sesuai untuk graduan berada sekitar RM4,537. Sementara itu, statistik dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula melaporkan graduan dalam bidang PMET (Profesional, Pengurus, Eksekutif, Juruteknik) menerima gaji purata RM3,598.

Gaji graduan sektor awam vs swasta

Walaupun gaji permulaan sektor awam seperti Gred 9 hanya sekitar RM2,250, namun graduan dalam bidang ini dapat menikmati faedah lain seperti jaminan pekerjaan, kenaikan gaji tahunan dan skim pencen. Malah, ada antara mereka boleh mendapat gaji mencecah RM11,000 untuk jawatan sama selepas beberapa tahun berkhidmat.

Graduan bukan STEM dan ketidakpadanan kerjaya

Graduan selain bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seperti sains sosial, perniagaan serta kemanusiaan sering dikaitkan dengan gaji permulaan lebih rendah dipercayai akibat lambakan graduan yang tidak seiring dengan permintaan pasaran.

Difahamkan, menurut data Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2023 sahaja, lebih 50 peratus graduan datang daripada bidang ini, sehinggakan ada yang terpaksa bekerja dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka.

Walaupun kebolehpasaran graduan pada 2024 kekal tinggi iaitu 92.5 peratus, sekitar 35.7 peratus graduan pada awal tahun ini (2025) masih menjawat jawatan di bawah kelayakan mereka.

Apa yang perlu kita ubah?

Daripada fokus pada isu gaji permulaan semata-mata, kita sepatutnya berbincang mengenai solusi jangka panjang antaranya menaiktaraf kurikulum universiti selari keperluan industri. Selain itu, graduan juga tidak boleh kekal dalam zon selesa.

Sebaliknya, mereka digalakkan meningkatkan kemahiran (upskill) dan menambah kemahiran dalam bidang yang berpotensi tinggi seperti bidang digital, ekonomi hijau dan teknologi pembuatan.

Selain itu, usaha untuk menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara industri perlu diteruskan. Jalinan kerjasama yang tersusun antara sektor awam dan swasta mampu menyediakan laluan yang terancang dan berfokus dari bidang pendidikan ke alam pekerjaan, termasuk melalui latihan industri, program perantisan serta latihan yang didorong oleh keperluan industri, sekali gus memudahkan peralihan ke dunia pekerjaan dan meningkatkan mutu pekerjaan.

Kesimpulannya, masalah gaji rendah bukan satu isu yang boleh diselesaikan dengan satu jawapan mudah. Kita perlu melihat akar permasalahan meliputi jurusan ditawarkan di IPT, peluang pekerjaan dan latihan kemahiran seiring kehendak pasaran.

Dengan tindakan proaktif antara majikan, kerajaan dan graduan sendiri, diharapkan para graduan dapat menerima gaji yang adil dan bermaruah seiring kepakaran mereka pada masa hadapan.

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.