Siakap Keli
israel sukarelawan madleen gaza
Kredit: Bernama

Tentera Israel Didakwa Culik Sukarelawan Kapal Bantuan Madleen Menuju Gaza – “Freedom Flotilla Coalition”

Tentera Israel Didakwa Culik Sukarelawan Kapal Bantuan Madleen Menuju Gaza – “Freedom Flotilla Coalition”

ISTANBUL, 9 Jun (Bernama) – Tentera Israel didakwa menculik aktivis di atas kapal bantuan Madleen yang menuju ke Gaza lewat Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik kenyataan Freedom Flotilla Coalition.

“SOS! Sukarelawan di atas Madleen telah diculik oleh tentera Israel,” menurut badan bukan kerajaan antarabangsa itu di Telegram, yang menganjurkan misi berkenaan.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Francesca Albanese yang sempat berhubung dengan kapten kapal itu berkata: “Ketika kapal itu dipintas, tiada sesiapa yang cedera – kapten meminta saya merakam (maklumat itu).”

Beliau memaklumkan turut mendengar suara tentera Israel sebelum talian terputus.

“Saya terputus hubungan dengan kapten ketika beliau memberitahu bahawa sebuah lagi bot sedang menghampiri,” tambahnya.

Terdahulu, tentera laut Israel menaiki kapal Madleen di perairan antarabangsa, menurut Freedom Flotilla Coalition yang menyatakan komunikasi dengan kapal itu telah terputus.

Rakaman langsung sebelum itu menunjukkan kapal Israel mengelilingi Madleen dan tentera mengarahkan aktivis di atas kapal agar mengangkat tangan.

Misi terbaharu itu dianjurkan Freedom Flotilla Coalition untuk memecahkan kepungan ke atas Gaza dan menyalurkan bantuan ke wilayah berkenaan. Kapal layar Madleen sepanjang 18 meter itu berlayar ke Gaza pada 1 Jun dari Pelabuhan San Giovanni Li Cuti di Catania, Sicily, Itali.

Seramai 12 individu berada di atas kapal Madleen, termasuk 11 aktivis dan seorang wartawan.

Antara mereka ialah aktivis iklim Sweden Greta Thunberg, Ahli Parlimen Eropah berketurunan Perancis-Palestin Rima Hassan, Yasemin Acar dari Jerman, Baptiste Andre, Pascal Maurieras, Yanis Mhamdi dan Reva Viard dari Perancis; Thiago Avila dari Brazil, Suayb Ordu dari Turkiye, Sergio Toribio dari Sepanyol, Marco van Rennes dari Belanda dan Omar Faiad, wartawan Al Jazeera Mubasher juga dari Perancis.

Kapal itu membawa bekalan penting untuk penduduk Gaza termasuk susu formula bayi, tepung, beras, lampin, produk kebersihan wanita, kit penyahgaraman air, bekalan perubatan, tongkat serta anggota palsu kanak-kanak, menurut penganjurnya.

Sumber: Bernama

BACA: Nahas Pelajar UPSI: Syarikat Bas Nafi Dakwaan Guna Pemandu Lori Sebagai “Back Up”

BACA: Lewat 15 Minit, Pelajar UPSI Terselamat Dalam Tragedi Bas Maut

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.