Figurin Labubu Terjual Lebih RM700,000 Dalam Acara Lelongan
Sebuah figurin koleksi Labubu mencatat rekod apabila terjual melebihi satu juta yuan (sekitar RM590,000) dalam satu acara lelongan di Beijing minggu ini, sekali gus menandakan lonjakan permintaan terhadap edisi terhad mainan lembut tersebut.
Labubu dicipta oleh Lung Ka-sing, seorang artis kelahiran Hong Kong, dan dihasilkan secara komersial oleh syarikat China, Pop Mart.
Biasanya, harga pasaran bagi figurin Labubu berkisar antara USD30 hingga USD300 (antara RM127.22 hingga RM1,272.15), namun nilainya melonjak tinggi dalam pasaran lelongan.
Acara lelongan anjuran Yongle Auction ini berlangsung di Phoenix Art Centre, Beijing dan menyaksikan 48 lot dipertaruhkan, dengan kutipan keseluruhan mencecah 3.72 juta yuan (sekitar RM2.1 juta).
Acara itu menarik kehadiran ratusan peminat dan turut disiarkan secara langsung kepada ratusan ribu penonton secara dalam talian.
Hashtag berkaitan lelongan tersebut menjadi tular di Weibo, platform media sosial mirip X di China, dengan lebih 45 juta tontonan dicatatkan.
BACA: Pensyarah UPSI Gagal Tahan Tangis, Suasana Pilu Kuliah Pagi Undang Sebak
“Labubu lebih dekat dengan seni berbanding barangan dagangan,” ujar Zhao Xu, pengasas Yongle Auction.
Menurut Zhao, lebih 1,000 pembida menyertai lelongan itu, dengan kira-kira 25 peratus daripadanya berasal dari luar tanah besar China, termasuk Taiwan, Singapura dan Indonesia.
Sebahagian besar figurin terjual dalam lingkungan puluhan ribu yuan.
Namun suasana menjadi lebih hangat apabila figurin Labubu berwarna coklat setinggi 160 sentimeter, unit ke-7 daripada 15 unit keluaran terhad, mula dibida.
Harga bidaan meningkat dengan pantas daripada puluhan ribu kepada lebih setengah juta yuan, sebelum ditutup pada harga 820,000 yuan (sekitar RM483,800).
Namun, rekod itu hanya bertahan seketika apabila lot berikutnya, satu-satunya figurin Labubu setinggi 131 sentimeter, berjaya dijual kepada pembida dalam talian pada harga 1.24 juta yuan (sekitar RM732,780) termasuk komisen, menjadikannya Labubu termahal pernah dijual setakat ini.
BACA: Santai Di Posisi, “Engineer” Steady Masak Rendang Curi Tumpuan
Labubu kini muncul sebagai bintang baharu dalam dunia koleksi figurin, selepas kerjasama rasmi dimeterai antara Lung dan Pop Mart pada 2019. Hanya dalam tempoh kurang daripada enam tahun, nilainya sudah mencecah lebih sejuta yuan.
Sebagai perbandingan, figurin Bearbrick keluaran Medicom Toy yang diperkenalkan pada 2001, mengambil masa hampir dua dekad untuk mencatat harga tertinggi sekitar USD30,000 (sekitar RM127,215) dalam lelongan Christie’s pada November 2019 menerusi kolaborasi bersama pereka fesyen Karl Lagerfeld.
Justeru, fenomena Labubu ini mendorong pengguna di platform media sosial Xiaohongshu (RedNote) untuk mengeluarkan semula koleksi Bearbrick lama mereka.
Ramai mendapati nilai figurin tersebut telah susut berbanding harga beli yang tinggi suatu ketika dahulu.
Zhao percaya Labubu mempunyai potensi jangka panjang yang lebih kukuh berbanding Bearbrick.
“Bearbrick adalah produk dagangan rekaan sebuah syarikat, manakala Labubu pula merupakan hasil karya seni seorang artis. Malah, lukisan asal artis ini juga pernah dilelong, menjadikan Labubu lebih dekat kepada seni berbanding sekadar barangan koleksi,” ujar beliau lagi.
BACA: “Tak sangka boleh kalah seteruk ini. Lawan Malaysia benar-benar susah,” – Kim Sang Sik
Sumber: SCMP