Siakap Keli
Malaysia Terajui Dialog Serantau Melalui Penganjuran Sulung Bengkel Peningkatan Paras Ai Laut Peringkat ASEAN 
Gambar Hiasan

Malaysia Terajui Dialog Serantau Melalui Penganjuran Sulung Bengkel Peningkatan Paras Air Laut Peringkat ASEAN

Malaysia Terajui Dialog Serantau Melalui Penganjuran Sulung Bengkel Peningkatan Paras Air Laut Peringkat ASEAN

Kuala Terengganu, 11 Jun 2025 – Kenaikan paras laut global yang semakin meningkat  menimbulkan cabaran yang belum pernah berlaku kepada komuniti pesisir pantai,  terutamanya di Asia Tenggara. Kawasan pantai yang luas, kepadatan penduduk yang tinggi  dan kebergantungan kepada sumber maritim menjadikan rantau ini amat terdedah kepada  hakisan pantai, kemasukan air masin serta kejadian pasang surut dan ribut yang semakin  teruk, sekali gus mengancam kelestarian alam sekitar dan kestabilan sosioekonomi.

Satu  kajian oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) meramalkan pada tahun 2070 hingga 2100, banjir  di kawasan pesisir pantai yang berkait dengan kenaikan paras laut boleh menyebabkan  kerugian tahunan purata sebanyak USD 26.8 bilion, bersamaan dengan 0.1% daripada KDNK  rantau ini. Asia Tenggara dijangka menanggung lebih 42% daripada kesan ini. 

Menyedari keperluan yang mendesak, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam  usaha memperkukuh ketahanan iklim serantau dengan menganjurkan ASEAN Workshop on  Sea Level Rise 2025 dari 11 hingga 12 Jun 2025 bertampat di Raia Hotel & Convention  Centre, Kuala Terengganu. Penganjuran bengkel yang tepat pada masanya ini adalah salah  satu dari inisiatif Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2025 dan mencerminkan komitmen  berterusan negara dalam memperjuangkan adaptasi perubahan iklim di peringkat Asia  Tenggara. 

YBhg. Datuk Nor Yahati Binti Awang, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam Sekitar)  Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), dalam ucaptama beliau menekankan  kepentingan untuk semua negara sama-sama bertindak dalam satu kumpulan serantau: 

“Malaysia amat berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada bengkel ini sempena  Pengerusi ASEAN 2025. Kepengerusian ini bukan sekadar satu kedudukan simbolik, tetapi  satu tanggungjawab penting untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam menangani  cabaran alam sekitar yang merentas sempadan negara.” 

“Kenaikan paras laut tidak mengenal sempadan dan begitu juga dengan tindak balas kita  terhadapnya. Di bawah kepengerusian Malaysia, kami telah meletakkan kelestarian alam  sekitar sebagai asas penting bagi masa depan bersama ASEAN dengan menyedari bahawa  kemakmuran ekonomi dan kestabilan sosial kita amat bergantung kepada kesihatan alam  sekitar yang dikongsi bersama.” 

“Dalam menghadapi ancaman paras laut yang meningkat, kita tidak boleh berdiam diri – kita  mesti bertindak bersama. Ini adalah cabaran bersama dan juga peluang untuk kita bersama sama untuk membina masa depan ASEAN yang lebih selamat dan lebih berdaya tahan. Paras  laut yang semakin meningkat sudah pun memberi impak kepada jutaan masyarakat di rantau  ini. Namun, melalui dasar yang kukuh, penyelesaian yang inovatif dan kerjasama serantau,  kita boleh mengubah cabaran ini menjadi kekuatan bersama.”

Bengkel ASEAN Workshop on Sea Level Rise 2025 ini telah dianjurkan oleh Kementerian  Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), dengan kerjasama Yayasan Penyelidikan  Antartika Sultan Mizan (YPASM), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air melalui  Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Universiti Malaysia Terengganu  (UMT) dan Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC). Bengkel ini turut mendapat  sokongan daripada GIZ di bawah Program Tindakan Iklim ASEAN-EU-Jerman serta  Sekretariat ASEAN. 

Bengkel selama dua hari ini telah menghimpunkan 100 peserta, termasuk penggubal dasar,  pakar penyelidik dan pengamal iklim dari negara-negara anggota ASEAN. Dengan tema  “ASEAN’s Response to Rising Seas: A New Chapter in Climate Adaptation”, bengkel ini  bertujuan untuk memberikan gambaran menyeluruh mengenai mekanisme saintifik yang  menyumbang kepada kenaikan paras laut, memberi kefahaman mendalam tentang cabaran  yang dihadapi serta merintis asas untuk potensi penyelidikan dan pelaksanaan dasar pada  masa akan datang di kalangan negara ASEAN. 

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.