Gamat Didapati Boleh Halang Penyebaran Kanser – Kajian
Gamat, sejenis haiwan laut yang sering dikaitkan dengan manfaat kesihatan tradisional, kini didapati mempunyai potensi luar biasa dalam dunia perubatan moden.
Kajian terkini yang diketuai oleh penyelidik dari University of Mississippi mendapati bahawa sebatian gula unik yang terkandung dalam gamat berupaya menghalang penyebaran sel kanser dalam tubuh manusia.
Kajian tersebut, yang diterbitkan dalam jurnal Glycobiology, menumpukan perhatian kepada sejenis enzim yang dikenali sebagai “Sulf-2”.
Enzim ini dipercayai memainkan peranan besar dalam pertumbuhan dan penyebaran sel kanser.
Sebatian gula daripada gamat, dikenali sebagai “fucosylated chondroitin sulfate”, didapati mampu menyekat fungsi enzim tersebut secara berkesan.
BACA: Haji 2026: Indonesia Terima Amaran, Kuota Haji Mungkin Dipotong 50 Peratus
“Hidupan laut menghasilkan sebatian dengan struktur unik yang jarang atau tidak ditemui pada haiwan darat,” jelas Marwa Farrag, pelajar PhD tahun keempat dalam bidang Sains BioMolekul di universiti tersebut yang juga penulis utama kajian ini.
Farrag, bersama sekumpulan penyelidik dari University of Mississippi dan Georgetown University, menjalankan kajian melalui pemodelan komputer dan ujian makmal bagi membuktikan keberkesanan sebatian tersebut. Hasilnya menunjukkan keputusan yang konsisten dan meyakinkan.
Menurut Profesor Madya Vitor Pomin, seorang pakar farmakognosi yang turut terlibat dalam kajian ini, sel tubuh manusia dipenuhi struktur halus dikenali sebagai glikan.
Glikan ini penting untuk komunikasi antara sel, sistem imun, serta membantu mengenal pasti ancaman seperti virus atau bakteria.
Dalam kes sel kanser, enzim Sulf-2 akan mengubah struktur glikan tersebut dan membantu sel kanser untuk merebak dengan lebih mudah.
“Kalau kita dapat menyekat enzim itu, secara teorinya kita sedang melawan penyebaran kanser,” kata Pomin.
Apa yang lebih menarik, sebatian daripada gamat ini tidak mengganggu proses pembekuan darah seperti sesetengah ubat lain yang menyasarkan enzim sama.
Hal ini sangat penting kerana ubat yang mengganggu pembekuan darah boleh menyebabkan kesan sampingan berbahaya seperti pendarahan tidak terkawal.
“Sebatian ini berpotensi tinggi kerana ia tidak menyebabkan risiko pembekuan darah terganggu,” jelas Joshua Sharp, Profesor Madya Farmakologi di University of Mississippi.
Tambahan pula, sebatian ini mudah diperoleh daripada gamat dan tidak membawa risiko penularan virus seperti yang mungkin berlaku jika menggunakan sumber daripada mamalia darat seperti babi atau lembu.
BACA: AS “Berkemungkinan Besar” Tangguh Tarif Bagi Negara Yang Berunding “Secara Ikhlas”
Namun begitu, satu cabaran besar adalah jumlah gamat yang terhad di lautan. Gamat bukanlah spesies yang mudah dituai secara besar-besaran. Apatah lagi, sesetengahnya turut dianggap sebagai makanan eksotik di rantau Asia Pasifik, termasuk Malaysia.
Oleh itu, langkah seterusnya adalah membangunkan kaedah sintesis kimia untuk menghasilkan sebatian ini secara tiruan bagi tujuan ujian lanjut ke atas haiwan dan manusia.
“Kalau kita nak kembangkan sebatian ini sebagai ubat, kita perlu hasilkan secara sintetik kerana tak mungkin kita dapat bekalan gamat dalam kuantiti besar,” tambah Pomin.
BACA: “Keluarga Jutawan Malaysia” Ini Beli Hartanah Mewah Di Singapura
Sumber: University of Mississippi