Siakap Keli
amaran haji indonesia
Gambar: Dok Humas BP Haji via Detik

Haji 2026: Indonesia Terima Amaran, Kuota Haji Mungkin Dipotong 50 Peratus

Haji 2026: Indonesia Terima Amaran, Kuota Haji Mungkin Dipotong 50 Peratus

Isyarat tegas telah disampaikan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Indonesia berhubung pelaksanaan ibadah haji tahun 2026, apabila negara itu memberi amaran bahawa kuota jemaah haji Indonesia mungkin dipotong sebanyak 50 peratus.

Menurut laporan media tempatan, langkah ini dikaitkan dengan pelbagai masalah yang timbul sepanjang musim haji tahun 2025, khususnya yang melibatkan aspek pengurusan dan kesihatan jemaah.

Difahamkan, amaran tersebut disuarakan dalam satu pertemuan rasmi di Jeddah pada 10 Jun lalu, melibatkan Ketua Badan Penyelenggara Haji (BP Haji) Indonesia, Mochamad Irfan Yusuf (lebih dikenali sebagai Gus Irfan) dan Timbalan Menteri Haji Arab Saudi.

Dalam pertemuan itu, kerajaan Saudi menyatakan bahawa kuota rasmi untuk Indonesia bagi tahun 2026 masih belum ditentukan dan berkemungkinan besar akan dikurangkan secara drastik.

“Biasanya selepas musim haji, kuota tahun berikutnya akan terus diumumkan. Tapi kali ini, keputusannya lebih rumit,” ujar Gus Irfan.

Faktor kesihatan jadi keutamaan Arab Saudi

Lebih membimbangkan, Arab Saudi turut menyuarakan kebimbangan besar terhadap tahap kesihatan jemaah Indonesia.

Wakil kerajaan Saudi secara terbuka menyatakan kekesalan terhadap pemilihan jemaah yang dianggap tidak memenuhi kriteria kesihatan minimum.

“Ada yang meninggal dunia dalam pesawat. Mengapa kalian membawa orang untuk mati di sini?” soal wakil Saudi dalam nada tegas.

Kenyataan itu jelas mencerminkan ketidakpuasan Arab Saudi terhadap kelemahan sistem saringan kesihatan jemaah Indonesia, yang disifatkan kurang telus.

Lantaran itu, pihak Saudi mendesak agar satu pasukan petugas khas bersama Indonesia dibentuk bagi mengawasi dan memverifikasi semua aspek pengurusan jemaah, terutamanya kesihatan, logistik dan perjalanan.

Kawalan ketat bakal diperketat

Antara perkara yang akan diperketat di bawah pengawasan pasukan petugas khas Indonesia–Saudi ialah:

1. Bilangan syarikah (syarikat penyedia perkhidmatan jemaah) dihadkan kepada maksimum dua sahaja.

2. Penilaian kesihatan jemaah diperketat – hanya mereka yang benar-benar sihat dibenarkan berangkat.

3. Pengawasan terhadap hotel, makanan dan jumlah katil per jemaah di Tanah Suci.

4. Pelaksanaan dam (denda haji) hanya boleh dilakukan di negara asal atau menerusi syarikat rasmi yang dilantik kerajaan Saudi, iaitu Ad-Dhahi.

5. Tindakan sanksi akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar syarat, termasuk jemaah dan pihak pengelola.

Dalam pada itu, situasi ini berlaku dalam masa yang sama dengan proses peralihan pengurusan haji Indonesia daripada Kementerian Agama kepada BP Haji sepenuhnya menjelang tahun 2026.

Gus Irfan menjelaskan bahawa pihaknya sedang giat berunding dengan Arab Saudi dan akan menawarkan sistem pengurusan baharu yang lebih teratur dan profesional bagi memulihkan kepercayaan dan menjamin kesinambungan kuota.

“Kita anggap ini sebagai satu peluang besar untuk penambahbaikan. Bukan hanya isu angka kuota, tetapi juga dari sudut kualiti pengurusan jemaah haji,” katanya.

BACA: Ini Perbezaan Pemain Warisan Malaysia Dengan Indonesia – Media Indonesia

BACA: Haji 2025: Malaysia Terima Anugerah Tertinggi Pengurusan Jemaah Haji Terbaik Dunia

BACA: Kempen Kebersihan Masya’ir Diteruskan, Malaysia Raih Pujian Arab Saudi

Sumber: Detik

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.