Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Haji 2025: Malaysia Terima Anugerah Tertinggi Pengurusan Jemaah Haji Terbaik Dunia

Haji 2025: Malaysia Terima Anugerah Tertinggi Pengurusan Jemaah Haji Terbaik Dunia

Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sahaja berjaya mengekalkan rekod cemerlang selama empat tahun berturut-turut, malah julung kalinya menerima Anugerah Tertinggi Labaytum ‘Diamond Award’ bagi pengurusan jemaah haji terbaik dunia.

Anugerah berprestij itu telah disampaikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu majlis rasmi yang berlangsung pada Ahad malam, di Mekah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar, menyatakan bahawa pencapaian membanggakan ini merupakan hasil usaha gigih dan komitmen tinggi warga kerja TH di lapangan, termasuk peranan besar Sahabat Maktab yang menyantuni jemaah haji Malaysia.

Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Husain, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustaqim Muhammad, dan Ketua Rombongan Haji, Mohd Hisham Harun atas sumbangan besar mereka dalam menjayakan operasi haji tahun ini.

“Walaupun menerima anugerah tertinggi, Tabung Haji akan melakukan post mortem dan usaha tambah baik bagi operasi haji bagi tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kebajikan dan keselamatan jemaah haji Malaysia akan terus menjadi keutamaan.

Menurut beliau, sebagai contoh, kemudahan khemah di Mina dikenal pasti antara aspek yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan keselesaan jemaah.

“Insya-Allah pada tahun depan, Tabung Haji meneruskan komitmen, perkhidmatan lebih baik dan meneruskan dengan syarikat Masyair Al-Masyarik untuk memastikan jemaah kita selesa dan seterusnya mendapat haji mabrur,” katanya.

Untuk info, Majlis Malam Penutup Operasi Haji merupakan acara tahunan anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang diadakan sebaik sahaja selesai urusan ibadah haji.

BACA: Bas Bawa Pelajar UPSI Terbalik, 15 Dilapor Maut

BACA: Seorang Lagi Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Di Tanah Suci

BACA: Kempen Kebersihan Masya’ir Diteruskan, Malaysia Raih Pujian Arab Saudi

Sumber: Astro Awani

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.