MPP UUM Berjaya Kumpul Derma Lebih RM200K Untuk Mangsa Nahas UPSI
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjalankan inisiatif derma kilat untuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas bas di Gerik.
Menerusi perkongsian terbaru di Facebook Universiti Utara Malaysia, tabung derma kilat itu telah mengumpul sebanyak RM200,810.49 setakat jam 3 petang tadi.
MPP UUM juga memaklumkan bahawa derma itu akan ditutup pada Jumaat jam 12 tengah hari.
“Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga UUM dan rakyat Malaysia atas keprihatinan yang ditunjukkan.
“Sehingga jam 3 petang hari ini, sebanyak RM200, 810.49 telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan ikhlas daripada 12812 penyumbang bagi membantu mangsa kemalangan bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli–Gerik.
“Majlis Perwakilan Pelajar UUM telah memutuskan untuk menutup Tabung Kilat Kemalangan pada hari Jumaat, 13 Jun 2025, 12.00 tengahari, bersempena penghulu segala hari yang penuh keberkatan,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, tabung derma kilat itu ditutup pada Jumaat bagi memberi ruang kepada semua orang yang ingin menghulurkan sumbangan terakhir pada hari yang mulia.
“Semoga segala bentuk sumbangan yang diberikan dikurniakan ganjaran terbaik oleh Allah SWT dan menjadi asbab kebaikan buat semua. Terima kasih,” ujar MPP.
Terdahulu, seramai 42 pelajar UPSI terlibat dalam kemalangan selepas bas yang dinaiki mereka terbalik di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, awal pagi Isnin.
BACA: Nahas Bas Di Gerik: Permit Pengendali Bas Persiaran Dibatal Serta-merta – Loke
Bas terbabit yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim itu telah mengorbankan seramai 15 pelajar dan selebihnya lagi mengalami kecederaan.
Satu keluarga yang menaiki Perodua Alza turut cedera selepas kenderaan mereka dilanggar bas terbabit.
Dalam pada itu, permit syarikat pengendali bas yang terlibat dalam nahas itu telah dibatalkan serta-merta.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata syarikat yang beralamat di Kedah itu juga didapati memajak permit bas kepada pihak ketiga di Kelantan, dengan bayaran RM500 sebulan.
Beliau berkata perjanjian pajakan yang melibatkan antara dua pihak itu melanggar syarat permit kenderaan awam.