Program Wacana Manuskrip Melayu Bil.3/2025 “Persenjataan Melayu: Citra Budaya Bangsa” Dan Majlis Pelancaran (Kick-Off) Projek Transliterasi Warisan 2025
KUALA LUMPUR, 12 Jun 2025 – Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengadakan Wacana Manuskrip Melayu Bil.3/2025 dengan tema “Persenjataan Melayu: Citra Budaya Bangsa” bertempat di Auditorium PNM, Aras 2, Anjung Bestari, Perpustakaan Negara Malaysia.
Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada orang awam atau penyelidik mengenai kepentingan manuskrip Melayu dalam memahami persenjataan tradisional, mengkaji simbolisme senjata dalam budaya dan kepercayaan masyarakat Melayu dan membuktikan kebijaksanaan serta menekuni keintelektualan para sarjana silam daripada pelbagai latar terutama rumpun Melayu. Selain itu program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kecintaan, penghayatan, kajian dalam manuskrip Melayu sebagai artifak budaya yang penting dalam menyumbang kepada pemahaman yang lebih luas tentang sejarah dan tamadun Melayu.
YBrs. Puan Anisatul-Wahidah binti Abdul Wahid, Timbalan Ketua Pengarah PNM yang mewakili YBrs. Tuan Edy Irwan bin Zulkafli, Ketua Pengarah PNM dalam ucapan beliau berharap agar koleksi manuskrip Melayu yang mempunyai nilai sejarah dan warisan ini akan menjadi sumber rujukan utama yang bermanfaat kepada masyarakat umum dan para penyelidik.
Selain wacana berkaitan persenjataan Melayu, PNM juga telah melancarkan Projek Transliterasi Warisan 2025 bersempena Wacana Manuskrip Melayu ini iaitu projek kerjasama PNM dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang melibatkan seramai 18 pelajar dan 2 orang pensyarah kanan dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM. Dalam projek ini sebanyak 5 naskhah manuskrip Melayu dalam bidang sains dan teknologi akan dibuat transliterasi (alih huruf tulisan Jawi Lama ke tulisan Rumi) bagi menyokong penyelidikan dalam bidang ini.