Makna Tema & Logo Hari Kebangsaan & Hari Malaysia 2025
Setiap tahun, rakyat Malaysia sentiasa menantikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang pastinya akan disambut dengan penuh kemeriahan dan semangat patriotik. Kemeriahan sambutan kedua-dua hari istimewa itu juga dilengkapkan lagi dengan tema dan logo khas yang mempunyai makna tersendiri.
Bagi yang belum tahu, kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan mengenai tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) iaitu ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’.
Makna Tema HKHM 2025
Bersesuaian dengan gagasan Malaysia MADANI, tema ini merupakan cerminan visi kerajaan untuk memperkukuhkan pembangunan negara melalui pendekatan yang berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan.
Ia juga menekankan prinsip pembangunan yang menyeluruh dan seimbang antara kemajuan material dan pembangunan rohani, merangkumi aspek kemajuan ekonomi, integriti pentadbiran dan perpaduan masyarakat.
Sementara itu, ‘Rakyat Disantuni’ pula menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diberikan perhatian utama.
Logo HKHM 2025

Berbeza dengan tema HKHM, logo rasmi sambutan masih sama seperti tahun sebelum ini iaitu logo Malaysia MADANI. Kerajaan akan terus menggunakan logo tersebut sehingga 2027.
Reka bentuk logo itu berteraskan Malaysia MADANI yang menghasilkan corak simbolik tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara.
Untuk pengetahuan, jalur yang terdapat pada logo tersebut melambangkan lima jari dengan jalur merah dan putih. Ia merupakan simbolisme kepada Rukun Negara yang mendasari ideologi Malaysia.
Sementara itu, seperti yang diketahui bulan sabit pula melambangkan simbol agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Manakala, bintang berbucu 14 melambangkan perpaduan dalam kalangan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).
BACA JUGA: Maksud Malaysia Madani, Slogan Baharu Negara Malaysia
Bulatan yang terdapat dalam lingkungan warna biru melambangkan permuafakatan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Selain itu, warna kuning pada bulan dan bintang adalah tanda negara ini dinaungi oleh Raja Berperlembagaan. Disusuli warna merah pada Jalur Gemilang, ia merupakan tanda semangat jati diri rakyat Malaysia yang mendukung semangat wira yang membara.
Warna biru pula memberi makna apresiasi jalinan budaya perpaduan nasional masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Manakala, warna putih ialah tanda keikhlasan dan keamanan sebuah negara bangsa yang merdeka. Diikuti warna hitam di logo tersebut yang menandakan keyakinan rakyat terhadap kemajuan kehidupan dalam citra Malaysia yang unik.
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia