Peneraju Global AI untuk Tenaga, Univers, Akan Lancar Pusat Kecemerlangan Sifar Bersih Pertama di Malaysia
KUCHING SARAWAK, 3 Jun 2025 – Univers, peneraju global dalam teknologi AI dan IoT untuk sektor tenaga, hari ini mengumumkan pemeteraian kerjasama strategik dengan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Sifar Bersih (Net Zero Centre of Excellence) pertama di Malaysia, yang akan berpusat di Kuching, Sarawak.
Dari kiri ke kanan, barisan atas: Hii Ding Sin (Arc Tech, COO), Tuan Ariffin Bin Mohamad (Timbalan Datuk Bandar, MCC), YB Dato Ir. Lo Khere Chiang, En. Busiai Bin Seman (Ketua Pegawai Eksekutif, SAINS); Dari kiri ke kanan, barisan bawah: Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman (Ketua Pegawai Eksekutif SDEC), Arun Poojari (Naib Presiden Global, Univers)
Pusat baharu ini akan berperanan sebagai hab inovasi, yang menggabungkan kepintaran digital dan aspirasi iklim untuk mempercepatkan peralihan Sarawak ke arah ekonomi rendah karbon yang didayakan teknologi. Disokong oleh satu Memorandum Persefahaman (MoU), kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada tiga bidang teras:
Khidmat Nasihat dan Pemerkasaan: Merangka strategi digital dan perkhidmatan nasihat untuk perniagaan dan agensi awam, dengan memanfaatkan pengalaman global Univers dalam teknologi Sifar Bersih dan AI.
Penyelidikan & Pembangunan (R&D) serta Inovasi: Menubuhkan Open Labs, Testbeds, dan Living Labs untuk memacu penyelidikan serta membangunkan harta intelek baharu yang disesuaikan dengan keperluan rantau ini.
Pelaksanaan Komersial: Melancarkan projek-projek Sifar Bersih sebenar merentasi sektor utama, termasuk tenaga dan hospitaliti, dengan menggunakan AI untuk mencetuskan kaedah operasi yang lebih bijak dan bersih.
“Kelestarian ialah satu perjalanan yang dibina berasaskan data, kerjasama, dan tindakan,” kata Arun Poojari, Naib Presiden Global, Univers. “Kami membawa AI untuk Tenaga ke barisan hadapan — menggunakan sistem pintar untuk mempercepatkan pencapaian matlamat iklim dan membolehkan ekonomi pesat membangun seperti Sarawak melonjak ke arah masa depan sifar bersih.”
Kerjasama ini akan meneroka bagaimana alat digital dapat meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan pelepasan karbon, dan mendorong kecemerlangan operasi merentasi sektor ekonomi utama di Sarawak. Usaha bersama tambahan mungkin merangkumi program pembangunan kemahiran dan inisiatif perkongsian ilmu bagi memupuk bakat serta idea tempatan.
Perjanjian ini turut selari dengan aspirasi lebih luas Sarawak untuk membangunkan ekonomi yang dipacu secara digital dan mampan dari segi alam sekitar, seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (Sarawak Digital Economy Blueprint 2030).
“Di SDEC, kami berfungsi dengan pemikiran seorang pereka, iaitu menghubungkan individu kepada peluang, data kepada keputusan, dan inovasi kepada infrastruktur. Sebagai agensi milik kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan bukan sekadar melaksanakan projek digital, mandat kami adalah untuk merangka satu ekonomi digital yang berdaya tahan, inklusif, dan berorientasikan masa depan, sejajar dengan aspirasi semua rakyat Sarawak,” kata Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC.
“Sarawak bukan sekadar mencuba-cuba dalam bidang AI. Kami sudah menggunakannya sekarang. Kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah membentuk masa depan di mana penyelesaian digital menjadi sebahagian daripada cara kita mereka bentuk dan memelihara persekitaran binaan,” tambah Sudarnoto.