Serangan Israel: Harga Minyak Dunia Melonjak Lebih 12 Peratus
Harga minyak dunia dilapor melonjak lebih 12 peratus sementara beberapa pasaran saham utama menjunam selepas serangan Israel ke atas Iran yang menyasarkan fasiliti nuklear dan ketenteraan negara itu.
Menurut AFP, keadaan itu didorong oleh amaran-amaran keras yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak yang menjurus ke arah kebimbangan meletusnya perang skala penuh.
Harga brent sedang melonjak menuju paras sekitar USD70, namun boleh melonjak lebih tinggi sekiranya laluan Selat Hormuz yang mewakili kira-kira 20 peratus aliran minyak dunia terjejas dalam konflik ini.
Selain minyak, harga emas juga meningkat susulan pelabur yang dijangka akan beralih ke arah pelaburan yang lebih selamat.
Harga minyak dunia melonjak selepas Israel lancar serangan ke atas Iran
Bank terkemuka dunia, JPMorgan sebelum ini turut memberi amaran bahawa harga minyak dunia berpotensi meningkat sehingga ke paras USD130 sekiranya situasi terburuk meletus.
Tehran sebentar tadi telah mengeluarkan amaran bahawa Israel akan berdepan dengan takdir yang ‘pahit lagi menyakitkan’, manakala Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata konflik besar berpotensi meletus di rantau berkenaan.
Ketika Israel menyatakan serangan dilancarkan ke atas fasiliti nuklear dan ketenteraan, Iran pula menegaskan serangan tersebut mengenai bangunan kediaman.
“Kami melancarkan serangan ke atas fasiliti utama pengayaan uranium Iran di Natanz. Kami juga menyerang kemudahaan program pembangunan misil mereka.
“Operasi ini akan diteruskan selama mana yang diperlukan,” kata Presiden Israel, Benjamin Netanyahu sambil menambah serangan turut menyasarkan pasukan saintis yang terlibat dalam pembangunan nuklear Iran.
Sementara itu, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran bahawa Israel akan berdepan dengan tindak balas yang teruk.
Iran ikrar akan bertindak balas dengan keras
“Dengan serangan ini, Israel telah menetapkan takdir yang pahit dan menyakitkan untuk diri sendiri. Mereka pasti akan menerimanya,” kata Khamenei.
Sementara itu, beberapa sumber dalam Amerika Syarikat menegaskan bahawa negara itu tidak terlibat dalam operasi yang dilancarkan oleh Israel.
Bagaimanapun, wujud kebimbangan bahawa negasa kuasa besar dunia itu akan diheret sekali ke kancah krisis sekiranya konflik Israel-Iran berpanjangan.
BACA: Israel Dilapor Lancar Serangan Sasar Fasiliti Nuklear Iran
Sumber: AFP, Australian Broadcasting Corporation