Tiada Keperluan Bubar Kementerian Ekonomi – PM Anwar
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak ada keperluan untuk membubarkan Kementerian Ekonomi buat masa ini dan sebarang pelantikan menteri baharu hanya akan diputuskan pada waktu yang bersesuaian.
Beliau berkata Kementerian Ekonomi yang dahulunya merupakan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, telah dijadikan kementerian penuh semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang pertama.
“Tidak timbul isu perubahan (struktur kementerian). Yang menentukan (struktur) adalah Jemaah Menteri dan saya, jadi setakat ini saya fikir tidak ada keperluan untuk merombak apa-apa,” katanya kepada media selepas merasmikan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Berhubung Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijadual dibentangkan pada Persidangan Parlimen Julai ini, Anwar berkata ia merupakan tanggungjawab bersama Jemaah Menteri dengan kerjasama Kementerian Ekonomi yang bertindak sebagai sekretariat utama.
Beliau berkata pelbagai perubahan dan penyesuaian sedang dilaksanakan ketika ini memandangkan landskap ekonomi semasa berubah, termasuk perubahan tarif yang memberi kesan kepada unjuran angka-angka utama negara.
BACA: Rafizi Ramli Umum Letak Jawatan Kabinet, Berkuat Kuasa 17 Jun Ini
“Minggu lepas kita juga telah mengadakan mesyuarat untuk mendengar input daripada kementerian-kementerian berkaitan penyesuaian dasar-dasar baharu yang diperkenalkan,” katanya.
Pada 28 Mei lepas Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan, dan terus mengambil cuti, yang tamat hari ini.
Ditanya mengenai status peletakan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad, Anwar berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan kerana beliau (Anwar) ingin memberi ruang dan masa sebelum membuat keputusan.
“Saya selalu tunggu, bagi peluang. Fikir, renung dan saya bagi pandangan saya. Kalau boleh, (biar beliau) teruskan khidmat dan (beliau) ada masa lagi (sebelum peletakan jawatan berkuat kuasa),” katanya.
Sebelum ini Nik Nazmi turut mengumumkan peletakan jawatan pada 28 Julai, mengambil cuti sehingga 3 Julai.
BACA JUGA: Rafizi Ramli Masuk Ke Pejabat Buat Kali Terakhir Hari Ini
Sementara itu ditanya mengenai cadangan pelarasan harga petrol RON95, Anwar berkata ia tidak akan menjejaskan majoriti rakyat Malaysia, khususnya 85 hingga 90 peratus penduduk.
Beliau berkata dakwaan pembangkang yang membayangkan rakyat menderita akibat dasar rasionalisasi subsidi, tidak lebih daripada gimik politik terdesak yang bertujuan mencipta naratif negatif.
Anwar berkata langkah kerajaan ke arah rasionalisasi subsidi adalah langkah kritikal untuk memastikan sumber negara yang mencukupi disalurkan secara berkesan untuk memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.
“Kita perlu ada sumber yang mencukupi untuk membantu golongan miskin, meningkatkan kualiti pendidikan dan menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik termasuk dalam penjagaan kesihatan,” katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk melaksanakan dasar itu walaupun mendapat kritikan, kerana ia merupakan sebahagian daripada pembaharuan ekonomi lebih luas yang bertujuan untuk kemampanan fiskal jangka panjang.
Sumber: BERNAMA