Nahas Gerik: Tabung KPT Prihatin Berjaya Kumpul RM1.7 Juta
Tabung KPT Prihatin berjaya mengumpul sebanyak RM1.7 juta hasil sumbangan lebih 40 universiti, agensi kerajaan dan syarikat korporat bagi membantu mangsa serta keluarga yang terkesan dalam insiden kemalangan bas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM371,000 telah pun disalurkan kepada para pelajar dan waris yang terlibat, manakala baki selebihnya akan diagihkan secara berperingkat.
Beliau menjelaskan, kutipan sumbangan ini digerakkan oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sekali gus mencerminkan semangat solidariti yang tinggi dalam kalangan warga pendidikan tinggi negara.
“Semua pihak yang menyumbang daripada IPTA-IPTA, mereka mengumpul sumbangan daripada pelajar-pelajar, kakitangan dan sebagainya. Turut terlibat politeknik dan agensi-agensi negeri Perak dan Johor termasuk bank-bank,” katanya pada Majlis Tahlil Perdana anjuran KPT dan UPSI di Perak.
Tambah beliau, majlis tahlil ini juga menjadi wadah penyatuan rakyat untuk bersama-sama berdoa demi kesejahteraan semua mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut.
Untuk info, majlis itu dihadiri lebih 5,000 orang, terdiri daripada mahasiswa, kakitangan institusi dan penduduk sekitar.
Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
BACA: Nahas Gerik: Lesen PSV Pemandu Bas Digantung Serta-Merta
Sumber: Berita RTM