Thailand Lulus Bidaan AS$1.2 Bilion Anjur Perlumbaan F1
Kabinet Thailand meluluskan bidaan bernilai AS$1.2 bilion untuk menganjurkan perlumbaan Formula 1 (F1) di ibu negara Bangkok bermula tahun 2028, menurut kenyataan rasmi kerajaan pada Selasa.
Jika bidaan ini berjaya, Bangkok akan menandatangani kontrak untuk menjadi tuan rumah perlumbaan F1 setiap tahun dari 2028 hingga 2032, kata jurucakap kerajaan, Jirayu Houngsub dalam satu sidang media.
“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, Thailand bakal menganjurkan pertandingan bertaraf dunia yang sebelum ini sukar dibayangkan berlaku di negara ini,” katanya.
Menteri Pelancongan, Sorawong Thienthong menjelaskan bahawa nilai bidaan itu adalah sekitar AS$1.23 bilion dan dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan negara, antara penyumbang utama kepada ekonomi Thailand.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, dilaporkan telah beberapa kali bertemu Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali sejak kebelakangan ini untuk mempercepatkan projek ini, termasuk dalam pertemuan di Monaco bulan lalu.
Kerajaan Thailand turut menekankan konsep penganjuran perlumbaan yang ‘lestari’ dari sudut alam sekitar, dan menjangkakan ia mampu menyumbang sehingga AS$600 juta kepada ekonomi negara.
Walaupun reka bentuk litar jalanan Bangkok masih belum diumumkan, Jirayu memberi bayangan bahawa kawasan sekitar Pasar Chatuchak, iaitu lokasi tumpuan pelancong di bahagian utara Bangkok, berpotensi menjadi sebahagian daripada laluan perlumbaan.
Kini, F1 mempunyai 24 perlumbaan tahunan di seluruh dunia, dan jadualnya telah disahkan untuk beberapa tahun akan datang.
Namun, beberapa kekosongan dijangka berlaku, dan Domenicali sendiri memberi bayangan bahawa Thailand berpotensi dimasukkan dalam kalendar perlumbaan pada masa hadapan.
Buat masa ini, satu-satunya pemandu F1 dari Thailand ialah Alex Albon, yang dilahirkan di London dan kini mewakili pasukan Williams.
BACA: Media Antarabangsa Dakwa Vietnam ‘Buru’ Lebih 100 Pemain Warisan
BACA: Ini Perbezaan Pemain Warisan Malaysia Dengan Indonesia – Media Indonesia
BACA: Ini Jadi Kalau Malaysia Lawan Indonesia – Pengulas Vietnam
Sumber: SCMP