Siakap Keli
datuk bandar maut ditembak
Kredit: 24 Horas

Datuk Bandar Wanita Mexico Kedua Ditembak Mati Dalam Tempoh Dua Hari

Datuk Bandar Wanita Mexico Kedua Ditembak Mati Dalam Tempoh Dua Hari

MEXICO CITY, 18 Jun – Seorang datuk bandar wanita Mexico ditembak mati pada Selasa di negeri barat Michoacan, dua hari selepas datuk bandar wanita di sebuah bandar di selatan negara itu dibunuh dalam pejabatnya, lapor AFP.

Datuk Bandar Tepalcatepec, Martha Laura Mendoza, dibunuh bersama suaminya, menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya Negeri Michoacan di laman X.

Mendoza merupakan ahli parti kiri Morena yang dipimpin Presiden Claudia Sheinbaum.

Pejabat pendakwa tidak memberikan butiran lanjut mengenai serangan itu dan hanya menyatakan kejadian berlaku di bandar berkenaan dan disiasat sebagai kes pembunuhan.

Bekas Datuk Bandar Tepalcatepec, Guillermo Valencia menyatakan bahawa sumbernya memaklumkan Mendoza dan suami diserang ketika mereka keluar dari rumah. Valencia yang juga pemimpin parti pembangkang PRI di Michoacan itu membuat kenyataan tersebut di laman X.

Michoacan merupakan pengeluar utama avocado di Mexico serta menempatkan pelabuhan Lazaro Cardenas dan beberapa lokasi pelancongan. Wilayah itu telah bergelut dengan keganasan kumpulan sejak hampir dua dekad.

Pembunuhan Mendoza berlaku hanya dua hari selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu pejabat Datuk Bandar San Mateo Pinas, Lilia Garcia, di Oaxaca. Beliau serta seorang lagi kakitangan telah ditembak mati.

Puluhan pegawai tempatan di Mexico telah menjadi sasaran kumpulan jenayah terancang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya di kawasan yang dikuasai kartel dadah. Keganasan turut merebak ke ibu negara, Mexico City. Kemelut tersebut melibatkan dua pembantu kepada Datuk Bandar Clara Brugada ditembak mati bulan lalu semasa mereka berada dalam kesesakan lalu lintas.

Keganasan jenayah, khususnya berkaitan pengedaran dadah, telah meragut sekitar 480,000 nyawa sejak kerajaan Mexico melancarkan perang terhadap kartel dadah pada 2006. Lebih 120,000 orang lagi dilaporkan hilang.

Sumber: AFP

BACA: Suami Isteri Maut, Tiga Anak Cedera Dalam Kemalangan Di Pekan

BACA: Remaja Sebabkan Lima Kematian Dihantar Ke Sekolah Henry Gurney Selama Enam Tahun, Denda RM1,500

BACA: Operasi Pencegahan Iran Berakhir, Serangan Balas Menanti – Mousavi

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.