Siakap Keli
SIREN KECEMASAN ISRAEL
Gambar: AP via Astro Awani

Iran Serang Balas, Siren Kecemasan ‘Bergema’ Di Israel

Iran Serang Balas, Siren Kecemasan ‘Bergema’ Di Israel

Suasana panik menyelubungi bandar Tel Aviv dan beberapa kawasan di utara Israel apabila siren kecemasan dibunyikan pada Selasa, berikutan amaran mengenai pelancaran peluru berpandu dari Iran.

“Dalam tempoh yang singkat tadi, siren dibunyikan di beberapa kawasan di seluruh Israel selepas sistem pertahanan negara mengesan pelancaran peluru berpandu dari Iran ke arah negara ini,” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak tentera Israel.

Susulan itu, penduduk di sekitar Tel Aviv dan wilayah utara Israel diarahkan untuk segera mencari perlindungan di tempat selamat, lapor AFP.

Israel dakwa berjaya pintas sebahagian besar serangan peluru berpandu Iran

Menurut AFP, Israel mendakwa berjaya memintas sebahagian besar serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran dalam satu serangan terbaharu pada Selasa.

Dalam kenyataan rasmi, tentera Israel memaklumkan bahawa “beberapa peluru berpandu telah dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Israel, dan kebanyakannya telah berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara”.

Agensi kecemasan perubatan Israel memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya empat orang cedera ketika cuba mendapatkan perlindungan, namun tiada kematian dilaporkan dalam serangan terbaharu ini.

Polis Israel dalam kenyataan di Telegram memaklumkan bahawa “peluru berpandu dan serpihannya telah jatuh di kawasan Tel Aviv dan menyebabkan kerosakan material, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu”.

Serangan peluru berpandu sebelum ini turut menyasarkan kawasan Tel Aviv, Bnei Brak, Petah Tikva dan Haifa dalam serangan malam Ahad hingga awal pagi Isnin.

Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 24 orang terkorban dan ratusan lagi cedera akibat siri serangan yang berterusan sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Iran pada Ahad lalu mendakwa bahawa serangan udara Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 224 nyawa termasuk pegawai tentera, saintis nuklear dan orang awam.

Walau bagaimanapun, angka rasmi terbaharu belum dikemas kini oleh pihak berkuasa Iran.

Ketegangan ini tercetus susulan tindakan mengejut Israel melancarkan kempen serangan udara terhadap Iran pada Jumaat lalu, yang disifatkan sebagai usaha untuk menghalang Tehran daripada membangunkan senjata nuklear, iaitu sesuatu yang dinafikan keras oleh pihak Iran.

BACA: Beberapa Letupan Kuat Kedengaran Di Tengah Iran

BACA: Serangan Israel Telah ‘Sangat Melemahkan’ Kepimpinan Iran – Canselor Jerman

BACA: Thailand Siap Sedia Pesawat, Pindah Rakyat Dari Israel Dan Iran

Sumber: AFP

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.