
Perkhidmatan Aerotrain KLIA Beroperasi Semula 1 Julai
SEPANG, 21 Jun (Bernama) — Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beroperasi semula pada 1 Julai ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkhidmatan yang akan beroperasi bermula 10 pagi itu, kini di peringkat akhir percubaan bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik.
“Projek Aerotrain telah siap dilaksanakan dan pelbagai percubaan dilakukan untuk memastikan keselamatannya.
“(Ketika ini) Aerotrain akan menjalani percubaan dan beberapa ujian akhir termasuk ujian penting tindak balas kecemasan,” katanya pada sidang media selepas meninjau perkhidmatan itu di sini hari ini.
Aerotrain merupakan sistem pengangkutan dalaman utama KLIA sejak beroperasi pada 1998, dan digantung perkhidmatan pada Mac 2023 kerana mengalami kerosakan.
Sumber: Bernama