Ikan Lumba-Lumba Irrawaddy Ditemui Mati, Tersangkut Pukat Pari Haram
KUALA KEDAH – Seekor ikan lumba-lumba Irrawaddy ditemui mati selepas tersangkut pada pukat pari haram yang ditinggalkan di perairan Kuala Kedah.
Penemuan menyayat hati itu dibuat pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah ketika rondaan kira-kira 1.1 batu nautika dari muara Kuala Kedah pada jam 11 pagi, Sabtu lalu.
Menurut Maritim Malaysia yang memuat naik berita tersebut di laman Facebook rasmi agensi tersebut, pukat berkenaan ditinggalkan secara sembunyi oleh nelayan yang tidak bertanggungjawab.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, nilai anggaran bagi rampasan pukat pari tersebut adalah sekitar RM2,000 dan dipercayai ditinggalkan oleh nelayan tidak bertanggungjawab.
“Pukat pari ini antara alat tangkapan yang diwartakan sebagai haram di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak selektif.
“Ia bukan sahaja memerangkap pari dan anak-anak ikan, tetapi juga mengancam spesies marin yang dilindungi seperti ikan lumba-lumba Irrawaddy,” katanya.
Ikan lumba-lumba Irrawaddy atau nama saintifiknya Orcaella brevirostris merupakan spesies terancam yang semakin pupus di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Haiwan ini turut dikenali sebagai empesut.
Menurut beliau, kehilangan seekor spesies itu memberi impak besar kerana populasi semasanya kecil dan sukar dikesan.
Beliau memaklumkan, rampasan terbaharu ini menjadikan sebanyak enam siri rampasan pukat pari berjaya dilaksanakan pihaknya tahun ini.
Rampasan ini membuktikan usaha penguatkuasaan giat dilaksanakan bagi mengekang penggunaan alat tangkapan haram yang mampu merosakkan habitat laut.
Menurutnya, penggunaan pukat pari boleh menjejaskan populasi pari yang memainkan peranan sebagai pemangsa dasar laut. Ia turut mengganggu keseimbangan ekosistem marin secara keseluruhan.
“Jika aktiviti ini berterusan tanpa kawalan, bukan sahaja pari akan pupus, tetapi spesies marin lain yang bergantung kepada rantaian makanan ini juga akan terancam. Keadaan ini membimbangkan,” tambah beliau.
Sehubungan dengan itu, Maritim Malaysia menyeru komuniti nelayan dan masyarakat maritim agar lebih peka terhadap pemuliharaan biodiversiti laut.
Sebarang aktiviti penangkapan haram atau kejadian mencurigakan boleh dilaporkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-7310579.
“Kita perlu bertindak bersama. Setiap nyawa spesies marin yang terkorban akibat ketamakan manusia adalah kehilangan besar kepada alam dan generasi akan datang,” katanya lagi.
Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
BACA: Benarkan Penumpang Kemudi Bot, Pengusaha Bot Akan Dikenakan Tindakan – Maritim Malaysia