Siakap Keli
gempa budak lelaki
Kredit: SCMP

Tengah Cemas Gempa, Budak Lelaki Sempat Suap Makanan Lagi

Tengah Cemas Gempa, Budak Lelaki Sempat Suap Makanan Lagi

China – Tindakan seorang budak lelaki di Qingyuan, Guangdong berlari semula ke meja makan untuk mengambil makanan ketika gempa bumi melanda telah mencuit hati warganet, lapor South China Morning Post.

Kejadian berlaku pada 23 Jun lalu semasa gempa bumi bermagnitud 4.3 menggegarkan wilayah selatan negara tersebut. Ketika kejadian, sebuah keluarga sedang menikmati makan malam di kediaman mereka yang terletak di tingkat sembilan sebuah pangsapuri.

Ibu kepada dua beradik tersebut tiada di rumah kerana sedang menjalankan tugasan rasmi di luar kawasan. Hanya bapa, dua anak lelaki dan pengasuh mereka berada di rumah.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan bapa, yang dikenali sebagai Li, bingkas bangun dan menarik lengan anak bongsunya keluar dari rumah.

Anak lelaki sulung yang pada awalnya mengikut Li keluar rumah sambil memanggil pengasuh mereka untuk segera menyelamatkan diri, kembali semula ke meja makan beberapa saat kemudian.

Walaupun Li berulang kali memberi arahan supaya anaknya keluar dari rumah, kanak-kanak tersebut tetap menyuapkan beberapa sudu lauk dan nasi ke dalam mulut sambil berdiri di meja makan.

Sempat membawa sepinggan lauk serta semangkuk nasi, kanak-kanak tersebut kembali meletakkan semula hidangan tersebut selepas dimarahi bapanya.

Selepas kekalutan tersebut, seluruh keluarga berkenaan turun ke tingkat bawah untuk menyelamatkan diri.

Berdasarkan laporan SCMP, keluarga berkenaan menunggu selama hampir satu jam di bawah pangsapuri mereka sebelum pulang semula ke rumah untuk menyambung makan malam.

Menurut Li, anak sulungnya turut menyatakan keinginan untuk naik semula ke rumah bagi menyelamatkan dron miliknya.

“Ketika itu, saya terlalu cemas dan hanya sempat suruh dia lari. Anak saya memang ada bakat lucu semula jadi. Saya hanya sedar betapa kelakarnya situasi itu selepas menonton video berkenaan,” kata Li.

Tambahnya lagi, lauk yang diambil anaknya itu bukan makanan kegemarannya, sebaliknya anak sulungnya itu sememangnya gemar makan.

“Saya beritahu dia bahawa nyawa lebih penting. Keselamatan mesti diutamakan. Jangan fikirkan tentang barang bila berlaku gempa bumi. Kamu mesti utamakan keselamatan diri,” katanya lagi.

Sumber: SCMP

BACA: Pelajar UM Cipta KelantanLingo, Aplikasi Belajar Dialek Kelantan

BACA: Polis Filipina Diberi Amaran, Turun Berat Badan Atau Dipecat

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.