Pihak Berkuasa Gaza Dakwa Temui Dadah Dalam Tepung Bantuan Diselia AS
Pihak berkuasa Palestin di Gaza mendakwa pil narkotik telah ditemui di dalam beg tepung menerusi bantuan yang diselia Amerika Syarikat (AS) di kawasan yang dikepung Israel.
Dalam satu kenyataan, pejabat media kerajaan Gaza berkata ubat penahan sakit preskripsi Oxycodone ditemui oleh penduduk Palestin dalam beg tepung yang mereka terima dari pusat pengagihan bantuan yang dikendalikan AS di Gaza.
“Ada kemungkinan pil ini sengaja dikisar atau dilarutkan di dalam tepung itu sendiri, ia merupakan serangan langsung terhadap kesihatan awam,” katanya.
Mereka juga mendakwa Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas perkara tersebut, yang bertujuan untuk menyebarkan ketagihan.
“Ini adalah sebahagian daripada serangan Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Ujarnya lagi, pil tersebut adalah ‘senjata lembut’ yang digunakan Israel dalam perang kotor terhadap orang awam.
Dalam pada itu, Israel telah merangka rancangan untuk menubuhkan empat tempat pengagihan bantuan di selatan dan tengah Gaza. Media Israel berkata ia bertujuan untuk memindahkan penduduk Palestin dari utara Gaza ke selatan.
BACA JUGA: Presiden Palestin Sedia Bekerjasama Dengan Trump Capai Perjanjian Damai
Mekanisme tersebut ditentang oleh masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia dilihat sebagai cubaan Israel untuk memintas saluran agihan bantuan menerusi PBB.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 549 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 4,000 cedera akibat tembakan Israel berhampiran pusat bantuan dan lokasi trak makanan PBB sejak 27 Mei.
Menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel telah melancarkan serangan terhadap Gaza sejak Oktober 2023, membunuh lebih 56,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, kerana jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Sumber: Anadolu Ajansi